Anda di sini

Gempa bumi kuat gegar Mexico

Advertisement
 Orang ramai berhimpun di jalanan selepas gempa bumi berskala 7.7 magnitud menggegarkan bangunan di Mexico City kelmarin. — Gambar AFP
SUASANA CEMAS: Orang ramai berhimpun di jalanan selepas gempa bumi berskala 7.7 magnitud menggegarkan bangunan di Mexico City kelmarin. — Gambar AFP

MEXICO CITY: Gempa bumi kuat menggegarkan barat Mexico kelmarin, menyebabkan sekurang-kurangnya seorang maut dan mencetuskan panik di serata Mexico City pada ulang tahun dua gegaran dahsyat.

Gempa itu – berskala 7.7 magnitud menurut agensi seismologi negara – menggegarkan bangunan dan menyebabkan orang ramai bergegas keluar ke jalanan di ibu negara.

“Saya fikir saya mengalami serangan jantung!” kata Gabriela Ramirez, penduduk Mexico City di mana ramai masih trauma akibat gempa bumi lima tahun lalu yang membunuh beratus-ratus orang.

“Kawasan ini amat terdedah ekoran banyak bangunan rosak dalam gempa 2017 yang tidak dibaiki, jadi ia lebih teruk ditambah dengan kekhuatiran dihempap,” tambahnya.

Seorang maut akibat runtuhan di sebuah pusat beli-belah di Manzanillo di negeri barat Colima, kata Presiden Andres Manuel Lopez Obrador di Twitter.

Pusat gempa terletak berhampiran pantai Pasifik, sekitar 400 kilometer barat ibu negara dan 59 kilometer selatan Coalcoman di negeri Michoacan, menurut ahli seismologi.

Gempa itu dianggarkan sedalam 15 kilometer.

Ia merupakan gempa bumi besar ketiga yang menggegarkan negara Amerika Latin itu tepat pada 19 September.

Tetapi kejadian hanyalah satu kebetulan, kata agensi seismologi kebangsaan.

“Tidak ada sebab saintifik untuk menjelaskannya,” tambahnya, meninggalkan sebilangan penduduk untuk mencari jawapan lain.

“Ia satu kebetulan yang sangat besar! Saya tidak menolak bahawa ia boleh menjadi petanda daripada Tuhan,” kata Federico Garcia, 57.

Penggera gempa bumi Mexico City berbunyi kurang sejam selepas ibu negara itu mengadakan latihan kecemasan sebagai sebahagian daripada acara untuk memperingati bencana pada 1985 dan 2017.

Di Michoacan, seorang tercedera apabila kaca jatuh dan berlaku kerosakan kecil pada rumah dan hospital luar bandar, kata pihak berkuasa.

Beberapa kawasan di Mexico City mengalami gangguan bekalan elektrik, menjejaskan laluan kereta api bawah tanah yang terpaksa dikosongkan.

Gempa itu mencetuskan berpuluh-puluh gegaran susulan, yang paling kuat daripada berskala 5.3 magnitud, menurut agensi seismologi kebangsaan. — AFP

Advertisement