Anda di sini

'Gawai Antu' berperanan penting hubungkan Sarawak dengan dunia luar

Advertisement
Jabu (tengah) dibantu Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Datuk Gerald Rentap Jabu menyampaikan cenderahati kepada Abang Johari (kanan) pada majlis pelancaran dokumentari filem perayaan Gawai Antu' di Auditorium Muzium Budaya Borneo, Kuching hari ini. - Gambar Roystein Emmor
Jabu (tengah) dibantu Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Datuk Gerald Rentap Jabu menyampaikan cenderahati kepada Abang Johari (kanan) pada majlis pelancaran dokumentari filem perayaan Gawai Antu' di Auditorium Muzium Budaya Borneo, Kuching hari ini. - Gambar oleh Roystein Emmor

KUCHING: Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, 'Gawai Antu,' perayaan yang disambut kaum Iban, berperanan penting menghubungkan Sarawak dengan dunia luar.

Ini kerana ujarnya, ia menyediakan saluran penting untuk pendidikan budaya rakyat Sarawak, khasnya kepada masyarakat di dunia.

"Perayaan unik kaum Iban ini merupakan penghubung penting Sarawak dengan dunia luar dan dalam hal ini, perayaan peribumi kumpulan-kumpulan etnik dari Sarawak menyediakan saluran pendidikan untuk rakan-rakan kita dari luar negara," ujarnya.

Beliau berkata demikian pada majlis pelancaran dokumentari filem perayaan 'Gawai Antu' di Auditorium Muzium Budaya Borneo di sini, hari ini.

"Dokumentari filem ini mengingatkan saya kepada pengalaman yang tidak dapat dilupakan bersama isteri Datin Patinggi Puan Sri Datuk Amar Juma'ani ketika kami dijemput ke sambutan 'Gawai Antu' di Rumah Panjang Gensurai Layar, Betong, 22 Disember 2018. Ribuan orang datang menyaksikan perayaan ini," katanya.

Menurutnya, dokumentari itu merupakan usaha bekas Timbalan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu Numpang dan keluarga yang mendokumentasikan sambutan 'Gawai Antu' untuk disimpan dalam bentuk boleh dilihat, tidak hanya oleh generasi muda kaum Iban, tetapi juga komuniti lain.

"Ini merupakan satu usaha besar, harus dicontohi pelbagai kaum etnik kita di Sarawak untuk mengekalkan warisan budaya masing-masing secara serius dengan merekod dan menyimpan dalam bentuk digital yang boleh ditonton serta digunakan bagi tujuan pendidikan, khasnya oleh generasi akan datang.

"Datuk Patinggi Jabu memberitahu saya, Iban menyambut 'Gawai Antu' untuk saudara-mara yang masih hidup memberi penghormatan tertinggi kepada sumbangan, jasa serta usaha keras nenek moyang atau saudara-mara terdahulu, memastikan generasi sekarang menikmati kehidupan lebih baik.

"Saya diberitahu persiapan untuk perayaan ini penuh dengan ritual mengikut sistem kepercayaan Iban yang mungkin berbeza dari satu tempat ke satu tempat," ujarnya.
Oleh itu, beliau berkata, dokumentari filem itu menyediakan medium penting untuk mengetengahkan kepelbagaian aspek sosiobudaya Sarawak yang boleh dikongsi dan dihargai masyarakat di luar negeri ini.

"Pelancaran rasmi tayangan dokumentari pagi ini mungkin inisiatif pertama Muzium Budaya Borneo untuk berkongsi dengan orang awam dan dunia secara amnya keindahan budaya masyarakat Iban ini.

"Saya difahamkan, selepas ini terdapat satu atau dua lagi tayangan dibenarkan Muzium Budaya Borneo untuk berkongsi keunikan perayaan yang jarang diadakan dengan lebih penonton dan peminat-peminat budaya," katanya.

Terdahulu, Penerbit dan Pengarah filem dokumentari itu, Loo Shun Ming berkata, 'Gawai Antu' merupakan perayaan disambut kaum Iban di Sarawak untuk menghormati roh-roh orang yang sudah meninggal dunia dan kini disimpan dalam bentuk dokumentari filen untuk tatapan generasi akan datang.

"Bagi kami pembikin filem, ia membuka dunia imaginasi... Filem ini berkisar dalam keluarga Jabu menganjurkan 'Gawai Antu' di Rumah Panjang Gensurai, Betong. Kami diberitahu, 'Gawai Antu' mungkin hanya dapat disaksikan sekali dalam seumur hidup.

"Tetapi, apabila saya menghabiskan banyak masa dengan keluarga Jabu dan penduduk di situ, saya terperangkap di tengah-tengah sebuah kisah yang lebih besar.

"Bermula daripada penggambaran, penulisan skrip, penyuntingan, malah muzik dan penggredan warna, pasukan saya dan saya sendiri berasakan kami berada dalam dua dunia - dunia roh dan dunia manusia," katanya.

Loo berkata, pasukannya mengambil masa 14 hari untuk membuat penggambaran di Betong dan Rumah Panjang Gensurai, manakala 10 hari lagi untuk menyiapkan dokumentari itu.

Hadir sama pada majlis itu, isteri Premier Sarawak Datuk Amar Juma'ani Tuanku Bujang, Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan isteri Datin Amar Doreen Mayang, Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah serta isteri Datin Zuraini Abdul Jabbar, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Tan Sri Datuk Amar Mohammad Asfia Awang Nassar dan isteri Datuk Fatimah Mohamad Iskandar, Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Datuk Gerald Rentap Jabu dan bekas Timbalan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu Numpang serta isteri Tan Sri Empiang Jabu.

Advertisement