Anda di sini

106 murid, pelajar terima bantuan persekolahan

Advertisement
 Jeffery (tengah) menyampaikan bantuan persekolahan kepada seorang penerima, turut kelihatan ialah Reduan (kiri).
PRIHATIN: Jeffery (tengah) menyampaikan bantuan persekolahan kepada seorang penerima, turut kelihatan ialah Reduan (kiri).

KOTA KINABALU: Seramai 106 murid serta pelajar dari sekitar Tanjung Aru dan Sembulan menerima bantuan persekolahan.

Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Bank Rakyat Jeffery Nor Mohamed berkata, sumbangan berkenaan disalurkan menerusi Program Bantuan Persekolahan Yayasan Bank Rakyat.

"Program ini akan dikembangkan ke daerah lain dalam masa terdekat, kini ianya dimulakan di Parlimen Putatan dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Aru.

"Pada hari ini, seramai 106 murid dan pelajar dari DUN Tanjung Aru akan menerima bantuan ini.

"Program ini akan diteruskan ke DUN Petagas pada hujung minggu ini dan kemudian ke DUN Tanjung Keramat," katanya ketika ditemui selepas merasmikan Program Bantuan Persekolahan Yayasan Bank Rakyat Mukim Tanjung Aru, hari ini. 

Sebelum itu, dalam ucapannya, beliau menjelaskan program seumpamanya sudah dilaksanakan di Sekolah Menengah Kebangsaan Pulau Gaya dengan memberikan bayaran yuran kepada cikgu untuk melaksanakan kelas tuisyen serta bantuan makanan kepada pelajar.

 Para penerima merakamkan gambar kenangan bersama tetamu-tetamu kehormat.
KENANGAN: Para penerima merakamkan gambar kenangan bersama tetamu-tetamu kehormat.

Beliau yang juga Ketua Bahagian UMNO Putatan berkata, pihaknya mahu semua pelajar dan murid di kawasan Parlimen Putatan cemerlang pada masa hadapan, seterusnya mampu menyara keluarga masing-masing.

Sementara itu, Pemimpin Pembangunan Masyarakat Tanjung Aru Reduan Aklee berkata, pihaknya berterima kasih kepada Bank Rakyat yang sentiasa prihatin kepada masyarakat memerlukan.

"Di sini, tanpa mengira latar belakang, semua yang layak mendapat bantuan akan menerima sumbangan sewajarnya, tiada ditinggalkan.

"Oleh itu, program seumpama ini wajar diteruskan di masa hadapan agar lebih ramai penerima yang layak boleh menikmati bantuan berkenaan," katanya.

Reduan yang juga Ketua Pemuda UMNO Bahagian Putatan memberikan jaminan bahawa pihaknya akan sentiasa menganjurkan program bermanfaat kepada rakyat.

"Sebelum ini kita juga telah menjayakan Program Keusahawanan dan Koperasi, usaha seumpamanya tidak akan terhenti malah akan diteruskan pada masa hadapan," katanya.

  • oleh
  • Advertisement