Anda di sini

Lucre

Advertisement
 

Oleh Shield Sahran

AMAN berdiri di tepi tingkap, seperti sedang bersembunyi tapi matanya meninjau rumah jiran sebelah. Rumah yang besar dan kukuh buatannya. Kereta berderet, pelbagai jenama. Anak-anak jiran sebelah semuanya bekerja. Aneh, fikir Aman. Jirannya yang mampu dan tidak miskin itu mendapat sumbangan makanan hari ini. Matanya sekejap besar sekejap kecil memandang kumpulan sukarelawan datang ke rumah jirannya menghantar pek bantuan berupa sekampit beras dan seplastik barang keperluan asas seperti tepung gandum, gula, mi segera dan biskut kering.
“Aku yang tak mampu ni mereka tak hantar sumbangan!” gumam Aman, sedikit geram. 
“Inilah masalahnya! Kroni, kroni, kroni!”
Mendengar bebelan si suami, Mas menjenguk di dapur dan bertanya kehairanan. 
Aman menoleh ke arah isterinya mengadu sambil menyumpah-nyumpah jiran sebelah yang menerima sumbangan makanan dari kumpulan sukarelawan Parti Periuk. Mereka datang menaiki sebuah van besar. Ah, musim mengutip undi sudah tiba untuk kawasan mereka kerana ketua di situ baru saja meninggal dunia akibat serangan jantung. Khabarnya, ketua mereka tak dapat dirawat meskipun duitnya banyak semasa hidup. Ternyata duit tidak dapat menyelamatkan ketua yang masih mahu menggalas tugas sepenggal lagi.
Mas termenung panjang memikirkan keadaan mereka yang tidak bekerja dan tidak berduit. Sekarang kawasan mereka menjadi tumpuan orang besar menabur ‘dedak’ dan berharap agar penduduk di situ bertukar menjadi ayam secara berjemaah. Namun, Aman dan Mas belum bertukar menjadi ayam. Mereka tak menerima sebarang ‘dedak’. Jangan kata sekampit beras atau sebungkus tepung, seuncang teh pun mereka belum dapat. Apakah undi mereka tak berharga? Kenapa pemberi sumbangan tak menyedari kewujudan mereka di kampung ini?
    Hanya disebabkan sumbangan makanan tak sampai ke tangannya, Aman marah sehingga makhluk bernama khinzir yang tak bersalah pun turut menjadi mangsa dalam sumpah-seranah, manakala jiran sebelah sedang tersenyum lebar menerima sumbangan makanan. Selepas itu, kumpulan sukarelawan meminta diri untuk pulang sambil memandang ke arah rumah kayu sedikit usang yang terletak di sebelah rumah yang baru saja mereka kunjungi.
Apabila van bergerak, salah seorang sukarelawan bertanya dengan nada suara yang agak rendah. Seolah-olah dia tidak mahu pertanyaannya didengari oleh penerima sumbangan padahal dia sudah berada di dalam perut van.
“Akak, kenapa keluarga tadi dapat sumbangan? Tengok rumah macam orang senang.”
    Ketua kumpulan membelek semula senarai nama penerima sumbangan sambil menggaru-garu pipinya yang tembam. Dengan wajah selamba, seperti tak peduli pun siapa yang menerima sumbangan makanan, ketua kumpulan pun menjawab pertanyaan. 
“Hmm, itu sumbangan untuk saudara mara.”
Sukarelawan tersebut segera mengangkat baki bungkusan sumbangan, dibelek kiri dan kanan. Yang ada cuma pelekat ‘Sumbangan ikhlas dari yang berkhidmat untuk golongan kurang mampu’. Puas matanya mencari kalimat ‘sumbangan untuk saudara mara’ tapi malangnya, kalimat itu tidak dijumpai. Dia kemudian berkalih memandang ketua sukarelawan yang tampak tenang, riak wajahnya menandakan dia sudah lali dengan pertanyaan seperti dan seperti itu jugalah telinganya sudah lali mendengar janji-janji palsu dari makhluk bernama manusia. Sedikit pun dia tidak terkejut.
“Untuk saudara mara.” Ketua sukarelawan itu menegaskan jawapan yang sama.
“Tugas kita cuma bagi sumbangan. Ikut saja, nanti tak dapat upah.”
“Sukarelawan dibayar upah?” tiba-tiba pemandu van mencelah dengan nada berseloroh Tapi sinis. 
Semua orang di dalam van itu tahu makna sukarela. Melakukan sesuatu atas kehendak sendiri dan tidak dipaksa-paksa. Tanpa bertangguh si ketua sukarelawan menyahut.
“Ya. Kami sukarela, jadi perantara untuk menghantar sumbangan. Tapi sukarela macam kami juga ada keperluan untuk hidup. Tenaga kami ada harga.”
Pemandu van hanya tertawa kecil. Sama ada dia terhibur dengan jawapan itu, atau rasa tertampar dengan pengakuan jujur daripada ketua sukarelawan. Mungkin juga kerana kata-kata itu tadi terlalu ironi dengan gelaran ‘sukarelawan’. 
Van tersebut melewati jalan raya dan deretan tiang kayu yang mengibarkan bendera parti. Parti yang menjangka menang tentu sudah bersedia untuk berpesta di hotel sambil mengangkat penyepit dan mencucuk menu dalam pinggan. Hangat. Kain rentang terpampang di sana sini sehingga menghambat pandangan pengguna jalan raya. Rancak. Hotel ternama ketika ini hanya menunggu tempahan dari orang besar. Semuanya punya makna.
Begitulah sebahagian kisah di kawasan bernama Lubuk Cacing Rendah (disebut sebagai Lucre). 
* * *
Nun di sebuah bilik gerakan, sekumpulan manusia sedang bersidang untuk musim membuang undi akan datang. Sekalian wajah sibuk memandang lembaran kertas di hadapan mereka, membaca perancangan yang sudah disiapkan dan perlu dilaksanakan dalam masa terdekat. 
Bagaimana untuk memenangi hati manusia lain? 
Apa yang harus dilakukan untuk menjadi pemenang?
“Musim membuang kali ini berbeza. Buang bukan sebarang buang.”
“Jadi bagaimana cara untuk dapatkan hati sebelum undi dibuang?”
“Kita buang sampah.”
Jari si ketua kepala perancang menuding ke arah lembaran kertas di meja. Pada musim seperti ini, semua deria bekerja dengan tangkas. Segala hal di luar sana diambil tahu. Mata yang sebelum ini kabur menjadi jelas, telinga yang pekak langsung mendengar segala keluhan, tangan yang sebelum ini berat serta-merta menjadi ringan. Ternyata mereka memang pandai memilih masa untuk membantu membuang sampah. Kenapa harus melepaskan peluang keemasan? Banjir yang melanda penduduk di sebahagian kawasan Lubang Cacing Rendah baru-baru inilah masa yang tepat untuk membuktikan keikhlasan!
“Sampah musim banjir ini ialah harta untuk kita.”
Kawasan Lubang Cacing Rendah ialah perkampungan yang terdiri daripada beberapa buah kampung. Beberapa bahagiannya berada di kawasan rendah dan mudah dinaiki air. Cuma kali ini, banjir dikatakan nampak lebih cantik. Apabila dilihat dari atas, kayu-kayu yang hanyut dari perbukitan berhampiran membentuk corak seperti batik. Apabila dilihat secara dekat, corak batik itu sebenarnya ratusan batang kayu yang berpusar dalam air bah sehingga menusuk dinding dan atap kediaman penduduk yang rata-ratanya bukan orang kaya.
    Kumpulan sukarelawan yang bekerja keras mengagihkan sumbangan ikhlas bersempena dengan pilihan raya akhirnya kembali ke bilik gerakan. Mesyuarat ringkas untuk bantuan banjir sedang diadakan. Sumbangan kasih sayang sudah dilaksanakan dan selepas ini sumbangan prihatin pula akan dilancarkan. Pek-pek makanan sedang dibungkus ke dalam kotak dan menunggu masa untuk diedarkan kepada mangsa-mangsa banjir di Lubang Cacing Rendah. Sukarelawan yang sebelum ini bertanyakan tentang sumbangan saudara-mara memandang bungkusan yang sudah tersedia. Terdetik di hatinya, penduduk yang terjejas akibat banjir nampaknya benar-benar menjadi cacing. Kediaman mereka terbenam ke dalam tanah dan lumpur. Manusia yang berjaya keluar dari timbunan tersebut menggeliat mencari nafas, meliuk lentok menahan lapar. Ah, kenapa musibah ini harus hadir di kala begitu banyak mata buas berkeliaran mencari peluang? Pemikiran itu bermain-main di fikiran sukarelawan yang masih baharu dalam pekerjaannya. Kenaifannya sangat ketara. 

 

Namun,bencana tidak bermaksud Tuhan mahu menghukum. Bencana juga tidak mesti bermaksud dosa di kawasan itu terlalu banyak. Hanya, bencana itu memang sudah lama menunggu masa untuk melanda kerana punca masalahnya tidak pernah diambil peduli. Tangan-tangan halimunan yang mengutip untung menjadi asbab kerosakan. Sedangkan rakyat marhaen menanggung sengsara perbuatan mereka.
Kembali semula ke bilik gerakan yang dihuni oleh kumpulan yang sudah selesai bermesyuarat. Mereka sebulat suara terhadap keputusan yang mereka persetujui bersama dan perkara tersebut akan dimajukan kepada calon yang bakal bertanding. 
Bagaimana memenangi hati manusia? 
Apa yang harus dilakukan untuk menjadi pemenang?
“Baiklah. Lusa kita ke sekolah yang dilanda banjir. Minta pihak berkenaan sediakan waterjet.”
Memo sudah berada di tangan ketua sukarelawan. Dia mengerling ke arah anak-anak buahnya. Lusa, mereka akan membantu mencuci sekolah yang dipilih. Sekolah itu sudah 70 peratus dibersihkan sejak tiga hari lepas. Syukur, pasti mudah untuk mereka menjalankan rakaman pembersihan kerana kawasannya tidak sekotor hari pertama banjir. Paling tidak, kotoran yang tersisa barangkali tahi burung atau tahi cicak.
* * *
Siang menghidupkan suis cahaya di langit. Mentari lalu menyimbah sinarnya di seluruh kawasan Lubang Cacing Rendah. Segerombolan manusia akan bergerak ke sekolah yang dipilih dalam siri bantuan banjir dan kempen meraih kepercayaan penduduk di situ. Sukarelawan yang masih baharu dalam pekerjaannya juga ikut serta. Pada masa itulah dia melihat hal-hal masyarakat yang bercampur aduk. Penduduk yang terjejas berpusu-pusu datang membawa harapan. Sementara mereka yang punya agenda lain pula sibuk mengeluarkan telefon pintar masing-masing lalu muncullah pelbagai peranan sepanjang siri bantuan banjir di sekolah tersebut:
Ada yang menjadi jurufoto.
Ada yang menjadi pengarah.
Ada yang menjadi penata cahaya.
Ada yang menjadi juruvideo.
Tak kurang juga penulis skrip, pengurus artistik, unit tatarias dan busana serta seluruh pasukan ‘produksi teater’ untuk satu hari di sekolah. Sudah pasti, fokus utama mereka bukan mangsa banjir tapi kepada ketua yang sedang menyental kotoran. Inilah yang dikatakan hero yang memahami keadaan dan sanggup turun padang. 
“Terima kasih kerana bersungguh-sungguh menunjukkan kerajinan. Cuma kalau tidak diambil video atau gambar sebegini banyak, mungkin kerjanya lebih cepat selesai. Air juga tak dibazirkan untuk bersihkan kawasan yang memang sudah bersih.” Kata sukarelawan itu kepada dirinya, cukup untuk didengari oleh telinganya sahaja. 
Sukarelawan itu berlalu pergi dan menuju ke bahagian pengagihan makanan untuk penduduk kampung yang terjejas teruk. Dia percaya dia lebih diperlukan di situ daripada menjadi penonton ‘teater’ yang tidak memberi sebarang kesan di hatinya. Semasa bertungkus lumus mengagihkan stok makanan yang berat-berat belaka, beberapa orang wartawan berkerumun mengambil gambar mereka. Beberapa orang sukarelawan menguntum senyum, menyangka penat lelah mereka mendapat perhatian. Walhal, fokus gambar ialah bungkusan makanan yang dilekatkan dengan stiker muka penyumbang. Maka nama penyumbanglah yang disebut-sebut sebagai insan mulia, insan murah hati, manakala sukarelawan kekal sebagai sukarelawan sahaja. Sukarelawan bukan penyumbang. Bukan siapa-siapa. Hanya membantu. Atas sebab itulah ketua sukarelawan tidak teruja dengan apa-apa perhatian. Yang penting dia sudah melaksanakan tanggungjawabnya kepada manusia yang memerlukan. Tidak lebih, tidak kurang.
Bantuan makanan yang berbaki masih bersusun di tepi kotak. Memandang baki sumbangan itu, sukarelawan yang kepenatan teringat pada rumah kayu usang bersebelahan rumah besar yang didatanginya tempoh hari. Dia meminta baki sumbangan itu tanpa memberitahu niatnya untuk ke rumah usang tersebut. 
“Ambillah, tak banyak mana pun yang ada dalam bungkusan tu,” ujar salah seorang sukarelawan. 
“Kalau untuk orang bujang macam kau, cukup untuk sebulan.”
Dia cuma tersenyum. Bungkusan diambil lalu dia pun meninggalkan sekolah yang sudah bersih seratus peratus, berkat pertolongan pasukan ‘produksi teater’.
Sukarelawan berusia 20-an itu menunggang motosikal menuju ke rumah kayu usang yang sering terbayang-bayang di matanya. Sayu hatinya sejak pertama kali terpandang rumah tersebut. Fikirnya, barangkali ada orang tua tinggal di dalam rumah itu. Kenapa rumah itu tercicir daripada senarai penerima sumbangan? Bukankah sumbangan seperti ini tidak harus ada unsur rasuah atau pecah amanah? Sumbangan harus diserahkan dengan benar, kepada mereka yang benar-benar berhak. Aku tidak mahu jadi orang dewasa yang tidak jujur, kata si sukarelawan mendirikan janji dalam hatinya. 
Sebaik saja tiba di hadapan rumah kayu usang tersebut, dia segera melaungkan salam. Muncullah tuan rumah dengan muka terpinga-pinga. Sumbangan pun diserahkan, si pemberi berasa lega dan si penerima pula berasa gembira. ‘Aku sudah melaksanakan kewajipanku sebagai seorang manusia’, getus sukarelawan muda tersebut dengan perasaan yang segar.    
“Siapa tu?” soal Mas, menjengah dari celah kain langsir depan pintu bilik. Aman menoleh sambil mengangkat bungkusan sumbangan.
“Syukur. Tak payah beli beras, tepung, gula. Kalau begini senanglah kita, tak kerja pun tak apa,” ujar Mas dengan muka selamba sambil mengerling ke arah timbunan sumbangan makanan. 
Semua sumbangan yang mereka perolehi disorokkan dengan cermat di bawah meja dapur. Dia turut mendapat sumbangan banjir walaupun rumahnya bukan dalam zon banjir, sumbangan B40, sumbangan dari masjid, sumbangan dari pihak pembangkang, sumbangan dari pihak kebajikan. Mereka hidup dengan hasil sumbangan, tidak ada ikhtiar untuk mencari pekerjaan. Ya, masyarakat negara ini baik hati. Orang malas seperti mereka berasa bahagia.
Ketika suami isteri itu sibuk memikirkan dari mana lagi mereka boleh memohon bantuan dan sumbangan makanan, anak mereka keluar dari bilik, meminta dibelikan telefon pintar baharu.
“Apahal tiba-tiba kau minta telefon?” Aman menoleh kehairanan.
“Nak belajar,” sahut si anak.
“Suruh pergi sekolah pun kau malas, Cah. Tak payah pakai telefon baru, pakai saja apa yang kau ada,” celah Mas, selamba.
“Kalau mak beli telefon baharu, Cah janji Cah pergi sekolah. Cah belajar rajin-rajin,” si anak memujuk.
“Ah, tak payah tabur janji palsumu, Cah. Kau takkan belajar kalau mak belikan telefon baharu untuk kau. Jangan jadi macam orang besar luar sana. Masa kau nak sesuatu, kau sanggup berjanji. Bila dah dapat, kau tak ingat apa yang kau janjikan.”
Cah mencebik lalu membentak kaki masuk ke biliknya semula. Niatnya untuk menayangkan telefon pintar baharu depan kawan-kawan tidak berjaya. Aman pula tersenyum lebar di hadapan longgokan bantuan makanan yang dia perolehi. Kalau begini tak buang undi pun tak apa, bisik Aman. Sedikit pun dia tidak memikirkan jiran belakang rumahnya yang jauh lebih susah. Rumahnya begitu kecil sehingga tidak disedari oleh pihak sukarelawan; namun jirannya itu tetap gigih bekerja membanting tulang memberi makan ahli keluarga, tanpa meminta-minta.

Nota kaki
Lucre: wang atau rezeki yang diperolehi dengan cara tak bermaruah.

 
 
Advertisement