Anda di sini

Tamatkan ‘penghimpitan undi’ Sarawak, Sabah pada PRU15

Advertisement
 Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR)
Sumber: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR)

Oleh Prof Wong Chin Huat

KEMERDEKAAN tidak bermakna tanpa demokrasi. Kita tidak menghalau pemerintah asing untuk digantikan dengan ‘penjajah baharu’ dari kalangan orang sendiri.

Maka, semasa kita meraikan Hari Malaysia, kita mesti juga memastikan rakyat boleh mengundi dengan cara yang paling mudah dan kos yang paling rendah.

Kita tidak boleh melihat kadar mengundi secara kebangsaan, sebaliknya perlu menganalisis lebih terperinci kadar mengundi untuk pelbagai golongan. 

Sekiranya mana-mana golongan pengundi menghadapi halangan dalam mengundi, sehingga kadar mengundi mereka menjadi lebih rendah daripada rakyat lain, maka berlakulah fenomena ‘penghimpitan undi’ (vote suppression).

Apabila undi sesuatu golongan terhimpit, maka suara mereka menjadi lemah atau langsung tidak kedengaran di Parlimen dan Dewan Undangan Negeri, masalah mereka diabaikan, dan mereka ketinggalan apabila tanah air maju ke depan.

Sehingga Disember lalu, warganegara yang berkelayakan perlu mendaftar sendiri sebagai pengundi dan proses pendaftaran mungkin mengambil beberapa bulan.

Ini menjadi halangan kepada ramai pengundi yang buta huruf, tua, kurang upaya, tinggal di tempat terpencil atau kurang minat tentang politik.

Sejak Disember lepas, halangan ini telah diatasi dengan pendaftaran pengundi secara automatic (AVR) yang dilaksanakan bersama penurunan umur minimum mengundi kepada 18 tahun (Undi 18). Sayang sekali, ia tidak sempat dilaksanakan untuk Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak yang lepas.

Kejayaan untuk mengatasi halangan ini adalah jasa pelbagai pihak, yakni anak muda yang lama memperjuangkan Undi 18, kerajaan Pakatan Harapan yang menggerakkan reformasi ini, Parlimen yang menyokong dengan sebulat suara, kerajaan Keluarga Malaysia yang memastikan kelengkapannya serta Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang melaksanakannya.

Namum, ramai rakyat Malaysia tetap menghadapi halangan apabila ingin mengundi kerana mereka berada di luar kawasan pilihan raya mereka dan SPR tidak menyediakan kemudahan mengundi secara tidak hadir.

Golongan pengundi manakah yang berisiko paling tinggi kerana tiada kemudahan undi tidak hadir? Mereka yang miskin, mereka yang muda, serta mereka yang datang dari Sabah, Sarawak serta negeri-negeri yang kurang maju.

Kalau anda tidak mampu mengambil cuti dan berbelanja untuk balik kampung, maka anda terpaksa melepaskan hak mengundi.

Kalau anda muda dan sedang belajar di institusi pengajian tinggi, kemungkinan besar anda tidak mampu berbelanja selalu balik kampung.

Akan tetapi, jika anda tinggal di Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Johor dan Melaka, sekalipun jika anda miskin atau muda, kemungkinan anda dapat mencari kerja atau ilmu berdekatan dengan kampung atau keluarga tanpa perlu merantau.

Prof Wong Chin Huat
Prof Wong Chin Huat

Sebaliknya, jika wilayah atau negeri anda memang kekurangan peluang pekerjaan atau pendidikan, maka anda mungkin terpaksa melepaskan hak mengundi jika anda miskin atau muda.

Bayangkanlah kalau anda berumur 25 tahun dari Kapit, Sarawak atau Pensiangan, Sabah, dan kerja di Kuala Lumpur dengan gaji RM2,500, mampukah anda mengambil cuti dan berbelanja mungkin melebihi RM1,000 untuk balik kampung semata-mata untuk mengundi?

Lebih-lebih lagi kalau pilihan raya dipanggil beberapa minggu sebelum atau selepas Hari Gawai atau Pesta Kaamatan, Hari Raya Aidilfitri, Krismas atau Tahun Baharu Cina.

Setahap mana kesan ‘penghimpitan undi’ ini? Kita tiada data untuk kadar mengundi mengikut kumpulan pendapatan atau umur, tetapi kadar mengundi mengikut negeri cukup menakjubkan. 

Menurut statistik SPR, untuk tiga pilihan raya umum (PRU) yang lepas, kadar mengundi kebangsaan ialah 76% (2008), 85% (2013) dan 82% (2018).

Sebagai perbandingan, kadar mengundi di Sarawak untuk tiga PRU tersebut cumal 65% (2008), 76% (2013) dan 73% (2018) iaitu 9-11% poin lebih rendah, manakala kadar mengundi di Sabah ialah 69% (2008), 80% (2013) dan 77% (2018) iaitu 5-7% poin lebih rendah.

Dijalankan berasingan daripada PRU, Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak mencatatkan kadar mengundi serendah 62% (2001, 2006), 70% (2011), 68% (2016) dan 61% (2021), manakala kadar mengundi pada PRN Sabah 2020 ialah 67%.

Kadar-kadar mengundi yang rendah ini bukan kerana orang Sarawak dan Sabah tidak prihatin pasal masa depan negara dan wilayah mereka, tetapi disebabkan pelbagai sebab yang menghimpit undi mereka termasuk tiadanya kemudahan untuk mengundi di negeri mereka merantau. 

SPR boleh menyelesaikan masalah ini dengan mendirikan sekurang-kurangnya sebuah ‘Pusat Undi Tidak Hadir’ (PUTH) di ibu negeri setiap negeri, membenarkan pengundi membuang undi tiga hari sebelum pengundian biasa, dan menghantar balik undi-undi ke kawasan masing-masing untuk dikira pada hari pengundian, semua di bawah pantauan ejen parti.

Kalau Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) boleh mengoperasikan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) untuk berbulan-bulan, takkan SPR tidak dapat menguruskan PUTH untuk tiga hari setiap lima tahun?

Ini akan memperkasakan kuasa politik seramai 230,000 pengundi Sarawak dan 300,000 pengundi Sabah di Semenanjung dan 80,000 pengundi Semenanjung di Sarawak dan Sabah, mengikut satu anggaran.

Sarawak mempunyai 1,252,012 pengundi berdaftar pada PRN 2021, 230,000 itu hampir 20% dan sekiranya separuh daripada mereka mengundi menggunakan kemudahan PUTH, kadar mengundi PRN tahun lepas sudah hampir mencecah 70%.

Sememangnya ada pihak yang akan berdalih bahawa lebih baik pengundi-pengundi ini mendaftarkan diri mereka sebagai pengundi Semenanjung saja. Pandangan sebegini tidak dapat bertahan daripada tiga segi.

Pertama, pengundi Borneo inginkan parti yang akan membela kepentingan Borneo di Parlimen, sehingga kita boleh mewujudkan kerusi ‘perwakilan berkadar dengan senarai parti’ (party-list proportional representation), tidak mungkin parti Borneo boleh menang di Semenanjung.

Kedua, ini akan mengurangkan bilangan pengundi di Sarawak dan Sabah. Dalam jangka pendek, ini akan menjadikan ketidakseimbangan jumlah pengundi antara kawasan lebih teruk. Dalam jangka panjang, berat politik Sarawak dan Sabah akan merosot.

Ketiga, pada zaman ini, kepentingan pengundi tidak lagi tertumpu kepada satu tempat saja. Ramai yang bekerja di bandar A, bermalam di pekan B dan berharta di kampung C, mengapa kita perlu paksa mereka mengundi di B saja?

Sudah dijalani 12 PRN di Sarawak, 16 PRN di Sabah dan 12 PRU Malaysia di Sabah dan Sarawak, tetapi 'penghimpitan undi' untuk perantau Borneo tidak pernah dipandang berat selepas 59 Hari Malaysia.

Sudah tiba masanya kerajaan Keluarga Malaysia, kerajaan GPS wilayah Sarawak dan kerajaan GRS wilayah Sabah memastikan SPR menyediakan PUTH pada PRU15.

Jangan sekali lagi undi Sarawak dan Sabah dihimpit!

Prof Wong Chin Huat ialah Ahli Sains Politik di Universiti Sunway yang khusus dalam sistem pilihan raya, demokrasi berparlimen dan politik parti. Beliau adalah Timbalan Ketua (Strategi) Pejabat Asia untuk Sustainable Development Solutions Network (SDSN).
 

Advertisement