Anda di sini

Pengiktirafan Merdeka bagi barisan hadapan ekonomi dan media semasa COVID-19 

Advertisement
 

Oleh Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz 
 
PULUHAN ribu rakyat Malaysia hadir di Dataran Merdeka semasa perarakan Hari Kebangsaan dan semasa Hari Malaysia di Melaka tahun ini.

Kibaran Jalur Gemilang dan senyuman gembira di wajah-wajah Keluarga Malaysia jelas menggambarkan semangat cintakan tanah air.

Di saat itu, terlintas di fikiran bahawa kita bukan sekadar meraikan 65 tahun kemerdekaan negara atau 59 tahun pembentukan Malaysia, tetapi juga usahasama serta kegigihan senegara dalam mengharungi pendemik COVID-19 yang telah melanda dunia dan Malaysia. 

Dalam tempoh Merdeka-Hari Malaysia ini, ramai rakan dan ahli keluarga saya merenung kembali tentang bagaimana kita berada di ambang krisis kesihatan awam dan ekonomi, dan kemudiannya berjaya memasuki fasa endemik.

Kesemua pencapaian ini bukan satu kebetulan, tetapi merupakan hasil perancangan teliti serta keberanian untuk bertindak berdasarkan pendekatan yang bukan konvensional. 

Masih jelas di ingatan saya semasa COVID-19 mula-mula melanda, dengan kadar kematian dan jangkitan yang mengerikan, serta ekonomi yang terus merosot.

Di saat itu, saya baharu saja mula bertugas di Kementerian Kewangan (MOF).

Perasaan ketika itu umpama dihumban ke jurang yang dalam, kerana bencana dahsyat yang tidak pernah berlaku ini mula mencengkam kehidupan, dan kita tiada pengalaman masa lalu untuk dirujuk. 

Memang gementar dan bimbang apabila beratus ribu rakyat hilang pekerjaan dan banyak syarikat-syarikat terpaksa ditutup.

Sebagai Menteri Kewangan, saya berhadapan dengan sebuah tragedi yang seolah-olah tiada kesudahannya.

Kisah seorang ayah yang tidak dapat menyediakan sesuap nasi untuk isteri dan anak-anaknya; atau seorang dua ibu tunggal yang putus asa dek tekanan pandemik sehingga terdorong untuk mengakhiri nyawa sendiri merupakan kisah-kisah menyayat hati yang membuatkan saya sering tidak boleh tidur malam. 

Namun, kita juga biasa mendengar kisah-kisah keazaman rakyat untuk meneruskan kehidupan, seperti juruterbang yang menjadi pembekal makanan; eksekutif korporat tidak lagi bertali leher dan sut kerana terpaksa menjalankan kerja-kerja manual. 
  
Hari-hari saya bergelut dengan hati nurani: adakah saya terlalu optimis apabila menerima tawaran untuk menerajui MOF di waktu itu? Setiap saat, setiap hari kita mencari jalan untuk menopang ekonomi negara daripada terus merosot.

Dalam dua minggu selepas saya menyertai MOF, kami melancarkan pakej bantuan bagi menyokong ekonomi dan memberi ‘talian hayat’ kepada mereka yang kehilangan pekerjaan, atau perniagaan yang susut pendapatan. 

Dalam tempoh dua tahun seterusnya, lapan pakej seumpama itu telah dilancarkan dengan nilai keseluruhan RM530 bilion, satu nilai yang begitu besar.

Saya juga membentangkan dua Belanjawan Negara yang tertinggi dalam sejarah, iaitu RM322.5 bilion bagi tahun 2021, dan RM332.1 bilion bagi tahun 2022. 

Apabila bekalan vaksin COVID-19 mula wujud, Kerajaan bertindak pantas untuk memvaksinasi kesemua rakyat Malaysia.

Alhamdulillah, dengan pelaksanaan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan yang efisien, kita mula nampak sinar harapan.

Walaupun kita kehilangan lebih 36,000 rakyat Malaysia akibat virus ini, petugas barisan hadapan kesihatan dan keselamatan wajar diiktiraf.

Bakti dan pengorbanan mereka tidak ternilai – terutamanya petugas yang telah tumpas semasa perang sengit dengan virus COVID-19. 

Namun, jika diimbas semula, petugas barisan hadapan wujud dalam pelbagai bentuk. Kita sudah biasa melihat mereka yang dilengkapi peralatan pelindung diri, stetoskop dan picagari.

Hakikatnya, terdapat ramai petugas barisan hadapan ekonomi dan media/komunikasi di belakang tabir yang berhempas pulas menganalisa data atau melaporkan berita secara bertanggungjawab dalam usaha untuk memulihkan negara.  

Mereka juga telah menyumbang tanpa mengenal erti penat dan lelah sepanjang pandemik.

Dasar ekonomi dan komunikasi Kerajaan yang responsif berjaya menaikkan semangat rakyat Malaysia untuk terus bertahan, dan kembali pulih.

Mereka terdiri dari rakan sekerja saya di MOF dan kementerian yang lain, serta badan-badan media dan pelbagai agensi Kerajaan.

Merekalah yang memastikan ekonomi kekal stabil dan maklumat terkini disampaikan secara adil dan telus. 

Buku yang saya lancarkan baru-baru ini, 'Weathering the Economic Storm: A Journey through the Uncharted Waters of COVID-19,' mengisahkan saat-saat getir pandemik yang kita harungi, serta pelbagai platform untuk berkongsi dasar-dasar MOF dan Kementerian Kesihatan bagi menyampaikan maklumat terkini tentang pemulihan kesihatan awam dan ekonomi. 

Kita telah bergelut dengan isu-isu seperti sekuriti makanan, pemulihan rantaian bekalan yang terjejas, keperluan operasi berterusan sektor pembuatan, pembongkaran dan penjelasan berita palsu, serta macam-macam lagi.

Buku saya merupakan pengiktirafan kepada usaha dan dedikasi buat mereka ini yang telah juga berjasa demi kesejahteraan negara. 

Kita mungkin jatuh, tetapi tidak tersungkur; semangat yang patah kini kembali utuh.

Alhamdulillah, ekonomi negara telah berkembang ekoran langkah awal seperti subsidi upah bernilai RM21 bilion dan usaha penciptaan pekerjaan untuk rakyat.

Hasilnya adalah pemulihan KDNK bagi tiga Suku Ekonomi berturut-turut iaitu 3.6% (S4 2021), 5.0% (S1 2022) dan 8.9% (S2 2022).

Kadar pengangguran pada Julai 2022 pula adalah 3.7%, satu penurunan ketara berbanding 5.3% pada Mei 2020.
  
Ini semua membuktikan bahawa dengan kepimpinan rasional berdasarkan langkah-langkah responsif, dan komunikasi / pelaporan yang bertanggungjawab dan telus, bahtera ekonomi negara mampu distabilkan semula ke arah perairan yang lebih tenang untuk kesejahteraan Keluarga Malaysia.
 
Kini sudah masuk 30 bulan saya di MOF. Saya berasa sedikit lega, dan amat bersyukur kerana berpeluang menerajui MOF sejak Mac 2020, untuk sama-sama berjuang sebagai ‘askar’ yang berjaya membendung pandemik ini.

Semangat kerjasama rakyat kita sebenarnya amat kuat, dan sekiranya kita bersatu berganding bahu, nescaya Malaysia mampu maju dan mara ke hadapan. 

Sejak ekonomi mula dibuka semula perlahan-lahan sehinggalah dibuka sepenuhnya, saya telah berjumpa dengan ramai peniaga-peniaga kecil dan besar.

Dari makcik penjual songkok di Kg Bharu, hinggalah ke PKS yang mempunyai pasaran di ASEAN.

Rata-rata mereka melahirkan rasa bersyukur dapat berniaga semula. Banyak lagi cerita sebegini dikongsi dengan saya.  

Ini mencetuskan satu kesedaran bahawa ada pelbagai kisah rakyat di luar sana yang tidak saya ketahui semasa di dalam dunia korporat.

Rutin harian saya kini amat berbeza dan terlalu sibuk berbanding dahulu, namun nilai perasaan puas dengan peluang berkhidmat untuk rakyat, tidak dapat saya gambarkan sepenuhnya.   

Pada pendapat saya, ‘Keluarga Malaysia’ bukanlah sekadar sebuah slogan; ianya merupakan kesinambungan perjuangan nenek moyang kita yang bertungkus-lumus mengasaskan sebuah negara yang aman dan progresif.

InsyaAllah hidup akan lebih bermakna sekiranya kita semua memainkan peranan masing-masing dalam merealisasikan visi ini, demi tanah air kita yang tercinta. 

Gambar Tengku Zafrul-p1 (mugshot)
TENGKU ZAFRUL

 
 

Advertisement