Anda di sini

M.Nasir memukau ribuan pengunjung sambutan Hari Malaysia di Bintulu

Advertisement
M.Nasir mendendangkan beberapa lagu popularnya.
M.Nasir mendendangkan beberapa lagu popularnya.

BINTULU: Artis legenda terkenal tanah air Datuk M.Nasir memberikan persembahan memukau di hadapan ribuan pengunjung yang membanjiri sambutan Hari Malaysia Ke-59 Peringkat Negeri Sarawak 2022 di tapak Lapangan Terbang Lama Bintulu, malam Jumaat.

Dengan mendendangkan lagu popularnya 'Mustika', M.Nasir berinteraksi dengan para penonton yang teruja menyaksikan persembahannya pada malam tersebut.

"Selamat Hari Malaysia, masih bersemangat lagi ke?

"Okay kita lagu rock ye 'Gerhana'," kata M.Nasir yang meneruskan persembahannya dengan lagu kedua yang nostalgia tersebut dengan penuh penghayatan.

"Sayang kita tidak boleh nyanyikan banyak lagu, bagaimanapun saya ucapkan terima kasih kerana membawa saya ke mari, saya sangat beruntung, saya kira pertama kali saya membuat persembahan di sini (Bintulu), terima kasih terima kasih," katanya.

M.Nasir mendendangkan lagunya dengan penuh penghayatan.
M.Nasir mendendangkan lagunya dengan penuh penghayatan.

Beliau seterusnya mendendangkan lagu 'Suatu Masa'.

"Ini sebuah lagu lama, lagu cinta," ujarnya.

Berasakan tidak puas dan tidak cukup dengan lima lagu, mungkin M.Nasir boleh pertimbang untuk menganjurkan konsert berskala besar untuk Bintulu ataupun di Sarawak pada masa akan datang.

Komposer tersebut meneruskan persembahan dua lagu yang membawa penuh makna dan diakhiri dengan lagu 'Mentera Semerah Padi' yang mana antara lagu yang masih popular hingga kini. 

Sebagai vokalis Kembara yang menubuhkan kumpulan itu pada era awal tahun 1980-an bersama A.Ali dan S.Sahlan, lagu-lagu dendangan M.Nasir lebih banyak terarah kepada isu masyarakat dan puisi seni yang penuh makna dan nilai mendalam antaranya adalah beliau menyanyikan lagu 'Anak-Anak Kita' pada awal persembahan dengan menonjolkan kehidupan anak-anak kecil yang perlu dijaga.

Memeriahkan lagi persembahan pentas adalah artis popular, Andi Bernadee atau Andi Azrul Andi Mapangile dari Sabah yang mendendangkan lagu hitsnya 'Donde', 'Satu Peluang' dan 'Kais Pagi Kais Petang' sehingga beliau diserbu peminat yang beramai-ramai bergerak ke hadapan pentas namun keadaan terkawal.

Penduduk yang hadir teruja menyaksikan persembahan pentas.
Penduduk yang hadir teruja menyaksikan persembahan pentas.

Kumpulan penari yang turut menjayakan persembahan adalah Majlis Seni Sarawak (MSS), MJS Dancer Bintulu, Kumpulan Kebudayaan Bintulu, pelajar Sekolah Kebangsaan (SK) Kidurong 1 dan SK Kidurong 2, SK Orang Kaya Mohammad dan SK Kampung Baru.

Turut menyaksikan persembahan itu adalah Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sarawak Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud serta isteri Toh Puan Datuk Patinggi Raghad Kurdi Taib sebelum keberangkatan baliknya.

Menyaksi sama, Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Dato Sri Dr Sim Kui Hian, Speaker Dewan Undangan Negeri Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar, Menteri Pemodenan Pertanian dan Pembangunan Wilayah merangkap menteri bertanggungjawab sambutan Hari Malaysia 2022 peringkat Sarawak Dato Sri Dr Stephen Rundi Uto.

Turut menjayakan persembahan malam itu ialah Ramles Walter, Florence Lo, Claudia Geres, Safar Ghafar (Corazon Espinado dan Jaipongan), Iwan Haji Dasri, beberapa artis tempatan lain dan persembahan kumpulan Muzik Jatong Lutang.

Ia merupakan persembahan mantap disajikan artis-artis tanah air dan artis tempatan dalam sambutan Hari Malaysia Peringkat Sarawak tersebut di atas pentas besar.

Persembahan Koir D'Voice Ritma Malaysia' dengan gabungan komposisi lagu berserta rentak patriotik lambang kepelbagaian bangsa turut disajikan.

Tayangan video khas 'Keluarga Malaysia Teguh Bersama' serta pertunjukan bunga api berirama antara yang menjadi tarikan pada malam tersebut.
 

  • oleh
  • Advertisement