Anda di sini

Pandangan menggoda, guru suruh anak murid panggilnya 'daddy' kena bon enam bulan

Advertisement

KUCHING: Seorang guru lelaki diperintahkan oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini untuk menjalani bon menjaga keamanan selama enam bulan dengan bon RM1,000 (didepositkan) akibat berkelakuan tidak wajar dan mengganggu anak murid perempuan berusia 12 tahun.

Tertuduh berusia 52 tahun itu mengaku bersalah sebaik didakwa mengikut Seksyen 67 Kanun Tatacara Jenayah.

Berdasarkan keterangan kes, tertuduh yang bertugas di sebuah sekolah rendah di BDC di sini telah mengarahkan mangsa datang seorang diri ke pejabat tertuduh di sekolah berkenaan pada 10 Ogos lalu, sekitar jam 4.40 petang.

Tertuduh seterusnya mengarahkan mangsa menutup pintu untuk berdua-duaan dengan mangsa dan bagi mengelak daripada dilihat oleh guru atau murid lain.

Setelah itu, tertuduh menyerahkan sebuah kotak hadiah berisi bunga plastik dan anak patung beruang kepada mangsa.

Perkara ini menyebabkan mangsa berasa takut, risau dan tidak selesa, selain mengalami gangguan emosi.

Ia susulan mangsa berdua-duaan dengan tertuduh di dalam bilik tertutup selepas menerima hadiah mencurigakan daripada tertuduh.

Tertuduh juga dilaporkan memandang mangsa dari atas ke bawah badan mangsa dengan pandangan menggoda.

Malah, tertuduh juga meminta mangsa agar tidak memanggilnya sebagai 'cikgu', sebaliknya memanggil tertuduh sebagai 'daddy'.

Susulan itu, mangsa menceritakan kejadian berkenaan kepada ibunya.

Laporan polis dibuat dan tertuduh ditangkap pada 24 Ogos lalu, sekitar jam 10 pagi di sekolah terbabit.

Tertuduh yang mengajar mata pelajaran Sains dan Pendidikan Jasmani itu tidak diwakili peguam.

Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Inspektor Mohd Adzmei Ahmad di hadapan Majistret Zaiton Anuar.

  • oleh
  • Advertisement