Anda di sini

Yayasan Hasanah terus perkasa pembangunan ISKUL kanak-kanak tanpa kewarganegaraan

Advertisement
 Kanak-kanak tanpa kewarganegaraan diberi peluang pendidikan menerusi Program ISKUL.
ISKUL: Kanak-kanak tanpa kewarganegaraan diberi peluang pendidikan menerusi Program ISKUL.

Operasi 'Iskul Sama Di Laut Omadal' (ISKUL) mungkin kurang dikenali biarpun sudah lebih tujuh tahun ditubuhkan sejak Ogos 2015.

Bertempat di Pulau Omadal Semporna, ISKUL adalah inisiatif yang diterajui komuniti dalam menyediakan bantuan pendidikan asas kepada golongan kanak-kanak tanpa kewarganegaraan di kawasan pulau berkenaan.

Program ISKUL diwujudkan bagi menyediakan pelajaran asas literasi kepada 30 kanak-kanak yang berumur antara lima hingga 12 tahun selain meningkatkan amalan pemakanan dan kebersihan dalam kalangan kanak-kanak dalam komuniti.

Sebelum terbinanya bangunan sekolah untuk Program ISKUL ini, sesi pengajaran dan pembelajaran dijalankan di kawasan jambatan, rumah penduduk, dewan, balai raya, malah di bawah pokok.

Bagaimanapun, pada 2016, bangunan sekolah baharu yang diberi nama 'Pondok Iskul' berjaya dibina untuk menyediakan persekitaran yang selamat untuk pelajar belajar dan bersosial. 

Pembinaan Pondok Iskul turut membantu meningkatkan jumlah kehadiran murid dalam kalangan komuniti Bajau Laut yang membolehkan Program ISKUL terus komited dalam memberikan latihan dan pembangunan jangka panjang.

Dalam usaha untuk memperkasakan lagi pelaksanaan Program ISKUL di Pulau Omadal Semporna, Yayasan Hasanah menjalin kerjasama dengan Persatuan Pendidikan Bajau Laut bagi menyokong program berkenaan melalui Geran Khas Hasanah (HSG) 2020 dan 2021. 

 Bilkuin, Shahira dan Jefry.
Dari kiri: Bilkuin, Shahira dan Jefry.

Pengarah Urusan dan Pemegang Amanah Yayasan Hasanah Datuk Shahira Ahmed Bazari berkata, selain sokongan pendidikan, ISKUL turut membekalkan sarapan pagi yang berkhasiat dan makan tengah hari kepada kanak-kanak ISKUL setiap hari.

Menurutnya, program ISKUL diketengahkan sebagai sebahagian daripada Laporan Hasanah (THR) 2021 di bawah bidang impak pendidikan.

"Pelajar dari suku Bajau Laut di bawah Program ISKUL adalah antara 1.48 juta individu yang menerima impak daripada program HSG kami pada 2021. 

"Pembiayaan daripada HSG 2020 membolehkan masyarakat menyediakan bekalan air bersih untuk kanak-kanak. Sehingga kini, seramai 30 pelajar mempunyai akses kepada air bersih di sekolah itu," katanya.

Beliau berkata, di Pulau Omadal, terdapat kira-kira 200 kanak-kanak berumur antara 4 hingga 16 tahun tidak mendapat peluang untuk bersekolah berikutan masalah tiada dokumentasi pengenalan diri.

Menurutnya, tanpa intervensi, golongan kanak-kanak terbabit dan generasi akan datang agak mustahil untuk membina kehidupan yang lebih baik dan membebaskan diri dari kitaran kemiskinan.

Sehubungan itu jelasnya, Yayasan Hasanah turut menyokong inisiatif lain bidang pendidikan iaitu Pentaksiran Alternatif Sekolah Menengah (PASM) pada 2021 untuk pelajar bermasalah pembelajaran.

"Kami perlu memastikan tiada sesiapa yang ketinggalan dalam menerima pendidikan yang berkualiti kerana mungkin ramai yang tidak sedar bahawa satu peratus penduduk negara ini terdiri daripada individu berkeperluan khas. 

"Murid berkeperluan khas mempunyai pelbagai kecerdasan dan kemahiran yang boleh dicungkil, dipupuk dan dikembangkan ke arah kecemerlangan individu yang optimum.

"Bagaimanapun, perhatian dan intervensi pendidikan yang sewajarnya diperlukan untuk membolehkan mereka menjadi individu yang berdikari pada masa hadapan," katanya.

 Aspek kebersihan diri antara pendidikan yang diterapkan kepada pelajar.
KEBERSIHAN: Aspek kebersihan diri antara pendidikan yang diterapkan kepada pelajar.

Selain itu beliau berkata, Yayasan Hasanah bekerjasama dengan KNK Total Assessment dan Lembaga Peperiksaan Malaysia di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dalam membangunkan penilaian alternatif untuk pelajar bermasalah pembelajaran di peringkat sekolah menengah sejak 2017.

Katanya, melalui inisiatif PASM,  pihaknya berharap agar pelajar yang mengalami Kesukaran Pembelajaran (LD) akan dapat menerima penilaian yang lebih adil, saksama dan telus untuk menilai kebolehan mereka dengan lebih baik.

Dalam pada itu jelasnya, pemilihan pelajar di ISKUL tiada pengkhususan dan mereka hendaklah dalam kalangan kanak-kanak tanpa kewarganegaraan serta menetap di Pulau Omadal Semporna. 

Menurutnya, golongan kanak-kanak berkenaan berhadapan dengan risiko buta huruf dan tidak mampu bersekolah sekiranya mereka meninggalkan Pulau Omadal.

"Antara pembelajaran asas yang diajar di ISKUL adalah mata pelajaran matematik, Bahasa Melayu dan seni dengan fokus utama kepada kemahiran membaca, menulis dan mengira (3M).

"Selain itu, para pelajar turut diajar beberapa perkara asas lain dan kebajikan seperti penjagaan dan kebersihan diri.

"Tenaga pengajar pula kita menggunakan khidmat ‘Mastal Arikik’ yang bermaksud guru kecil dalam bahasa Bajau Laut iaitu bekas pelajar ISKUL yang berusia 12 hingga 15 tahun," jelasnya.

Beliau berkata, Mastal Arikik diberikan elaun sebagai insentif dan bertanggungjawab untuk mengajar kumpulan pelajar serta menjadi perantara untuk pelajar yang belum fasih berbahasa Melayu.

Katanya, selain dari perkhidmatan Mastal Arikik, Program ISKUL juga menerima sukarelawan yang ingin berkhidmat sebagai tenaga pengajar di sekolah berkenaan.

Sementara itu, salah seorang tenaga pengajar ISKUL, Jefry Musa yang berasal dari Kuantan Pahang memulakan inisiatif untuk mengajar kanak-kanak tanpa dokumentasi di Sabah sejak lima tahun lepas.

Sebelum berkhidmat bersama ISKUL, beliau mempunyai pengalaman mengajar di sekolah untuk kanak-kanak tanpa kewarganegaraan.

Jefry berpendapat dengan bantuan dari Yayasan Hasanah, urusan pentadbiran untuk ISKUL menjadi semakin lancar, kebajikan guru terjaga, pencapaian dan kehadiran pelajar juga semakin meningkat.

Mastal Arikik ISKUL, Bilkuin Jimsali, 18, mula menyertai program berkenaan sebagai pelajar pada 2015 dan kini mengambil tanggungjawab untuk mengajar Bahasa Melayu, matematik dan juga kebersihan diri kepada pelajar-pelajar ISKUL.

Bilkuin berharap agar semua anak-anak Bajau Laut boleh mendapatkan hak pendidikan agar nasib komuniti mereka akan berubah pada masa hadapan.
 

  • oleh
  • Advertisement