Anda di sini

Prospek pertumbuhan IPP Malaysia dilihat bercampur-campur berikutan ketidaktentuan ekonomi global meningkat

Advertisement
KUALA LUMPUR: Indeks Pengeluaran Perindustrian (IPP) Malaysia dijangka terus menggalakkan pada tahun ini (5.0 peratus), disokong oleh peningkatan yang berterusan dalam perbelanjaan domestik dan permintaan luar yang stabil, walaupun dijangka sederhana secara berperingkat pada masa depan.

Public Investment Bank Bhd berkata elektrik dan elektronik (E&E) serta eksport barangan pembuatan lain, akan terus menggalakkan. 

“Output sektor elektrik akan turut menjadi penyumbang yang ketara kepada pertumbuhan IPP pada 2022 berikutan pembukaan ekonomi sepenuhnya susulan peralihan kita kepada fasa endemik COVID-19 bermula April.

“Risiko dijangka daripada tekanan inflasi dan kelembapan ekonomi yang lebih ketara di negara-negara maju walaupun kami menjangka risiko akan berkurangan secara berperingkat dan melihat kelembapan ekonomi bukan ancaman dalam tempoh terdekat,” katanya dalam nota penyelidikan.

Bagaimanapun, MIDF Research telah menyemak semula unjurannya untuk pertumbuhan IPP yang lebih rendah kepada 6.0 peratus pada tahun ini berbanding 8.2 peratus pada tahun sebelumnya berikutan ia kini menjangka pertumbuhan IPP yang lebih sederhana menjelang akhir tahun ini.

“Walaupun Indeks Pengurus Pembelian (PMI) Pembuatan Malaysia kekal melebihi 50 pada 50.3 pada Ogos (Julai: 50.6), kelembapan ekonomi global pada Ogos, seperti yang dapat dilihat daripada laporan PMI terkini, menunjukkan prospek yang kurang menggalakkan untuk permintaan luar. 

“Selain itu, prestasi jualan yang perlahan pada Julai turut menunjukkan pertumbuhan yang sederhana dalam perbelanjaan domestik.

“Dalam kata lain, walaupun kami menjangka IPP akan terus berkembang, prospek jangka pendek akan dikekang oleh kemungkinan permintaan yang rendah, selain cabaran dalam rantaian bekalan global dan kos pengeluaran yang meningkat,” katanya dalam nota berasingan.

Secara keseluruhannya, firma penyelidikan itu menjangka peningkatan yang berterusan dalam aktiviti ekonomi domestik.

“Walaupun terdapat tanda-tanda prospek yang lebih sederhana, kami masih menjangka permintaan asing meningkat terutamanya untuk E&E dan komoditi bagi memacu pengeluaran dalam sektor berorientasikan eksport,” katanya.

Menurut AmBank Research, pada masa depan, ia menjangka “cabaran yang lebih ketara apabila bank-bank pusat global (telah) mengehadkan sumber kewangan mereka dalam usaha untuk menurunkan inflasi, yang seterusnya akan menjejaskan permintaan global dan menyebabkan kesan limpahan terhadap industri berorientasikan eksport”.

“Selain itu, sekatan pergerakan di China berikutan dasar sifar-Covid yang ketat, pada tahap tertentu, boleh menjejaskan prestasi industri. Risiko penurunan juga terdapat dalam ketegangan geopolitik yang meningkat antara China-Taiwan.

“Jualan semikonduktor yang berkurangan juga boleh memberi ancaman kepada aktiviti pertumbuhan Malaysia. Pada Julai 2022, pendapatan semikonduktor global meningkat 7.3 peratus tahun ke tahun kepada US$49 bilion, kadar paling perlahan sejak Dis 2020.

“Buat masa ini, kami mengekalkan unjuran pertumbuhan tahun penuh kami pada 6.4 peratus pada 2022 sebelum susut kepada 4.8 peratus pada 2023,” katanya. - BERNAMA

Advertisement