Anda di sini

Perdagangan borong dan runcit meningkat 41 peratus pada Julai 2022

Advertisement
KUALA LUMPUR: Nilai jualan perdagangan borong dan runcit Malaysia mencecah RM130.7 bilion pada Julai 2022, mencatatkan pertumbuhan 41 peratus tahun ke tahun berikutan peningkatan dalam subsektor perdagangan runcit, kata Jabatan Perangkaan Malaysia. 

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin berkata subsektor perdagangan runcit meningkat  RM15.4 bilion atau 37.5 peratus kepada RM56.6 bilion.

“Kenderaan bermotor juga berkembang 613.8 peratus atau RM12.4 bilion kepada RM14.4 bilion,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam tempoh yang sama, perdagangan borong menokok 20.6 peratus atau RM10.2 bilion kepada RM59.7 bilion, bagaimanapun bagi perbandingan bulan ke bulan, nilai jualan perdagangan borong dan runcit merosot 1.6 peratus disumbangkan oleh subsektor kenderaan bermotor yang turun 10.5 peratus.

Bagi prestasi mengikut subsektor, beliau berkata, pertumbuhan subsektor perdagangan runcit sebanyak 37.5 peratus pada Julai 2022 disokong oleh jualan runcit di kedai bukan pengkhususan yang meningkat 39.1 peratus atau RM5.9 bilion kepada RM20.8 bilion. 

“Kumpulan lain dalam subsektor ini turut mencatatkan pertumbuhan positif iaitu jualan runcit di kedai pengkhususan 47.1 peratus, jualan runcit bahan api kenderaan (73.7 peratus), dan jualan runcit barangan isi rumah (28.8 peratus),” katanya.

Mohd Uzir berkata pertumbuhan 613.8 peratus dalam subsektor kenderaan bermotor bulan itu  disumbangkan oleh jualan kenderaan bermotor yang meningkat 431.5 peratus atau RM5.7 bilion kepada RM7.0 bilion dikuti oleh jualan alat ganti dan aksesori kenderaan bermotor, penyelenggaraan dan pembaikan kenderaan bermotor, dan jualan, penyelenggaraan dan pembaikan motosikal.

“Kenaikan bagi subsektor perdagangan borong sebanyak 20.6 peratus disumbangkan oleh lain-lain pengkhususan jualan borong 22.0 peratus,” katanya.

Beliau berkata antara kumpulan yang menyumbang kepada peningkatan itu ialah jualan borong barangan isi rumah( 35.0 peratus), jual borong bahan mentah pertanian dan haiwan hidup (17.8 peratus), jualan borong jentera, peralatan dan bekalan (20.0 peratus), dan jualan borong makanan, minuman dan tembakau (7.2 peratus).

Bagi indeks volum, Mohd Uzir berkata perdagangan borong dan runcit bagi Julai 2022 mencatatkan pertumbuhan tahun ke tahun sebanyak 33.7 peratus, pengembangan itu disumbangkan oleh kenderaan bermotor dan perdagangan runcit yang meningkat masing-masing 681.6 peratus dan 31.6 peratus.

Selain itu, perdagangan borong juga mencatatkan pertumbuhan positif sebanyak 10.8 peratus.

Bagaimanapun, indeks volum pelarasan musim turun 1.4 peratus bulan ke bulan. - BERNAMA

Advertisement