Anda di sini

Cerpen “Pertembungan” melalui Kanta Multiperspektif Sastera

Advertisement
 


Oleh Lokman Hakim

“Pertembungan” dalam Lensa Georges Bataille

“Kebenaran – dan keadilan- menuntut ketenangan meskipun ia juga hanya dirangkumi keganasan.” – Georges Bataille.

Merumuskan inti pati cerpen “Pertembungan” tulisan Jong Chian Lai dengan sepatah ayat tulisan Georges Bataille dalam usahanya mengungkapkan tulisan Marcel Proust, barangkali janggal. Bahkan konteks yang cuba dijelaskan oleh Georges Bataille ini merupakan pendirian Marcel Proust yang begitu memuja kebenaran. Kebenaran apakah yang cuba diperjuangkan itu?
     Cerpen “Pertembungan” adalah sebuah cerpen sarat elemen kekeluargaan yang dibumbui konflik patriotisme dwipermukaan. Menarik apabila tema patriotisme dwipermukaan yang sekian lama menjadi semacam tema asas penulisan Jong Chian Lai cuba mengangkat keunikan semangat patriotisme masyarakat Cina di Malaysia tanpa melupakan asal keturunan mereka di negara China. Hal ini ketara dalam novel Ah Fook terbitan ITBM. Perjuangan Jong Chian Lai dalam karya-karyanya memperlihatkan bahawa masyarakat Cina juga cintakan tanah air Malaysia dengan cara tersendiri. Dan tema ini masih boleh dihidu dalam pembacaan cerpen “Pertembungan”.
     Jong Chian Lai memulakan cerpen dengan babak dua orang lelaki yang di mana salah seorangnya mengacukan senapang ke seorang lagi – ia suatu babak keganasan yang merangkum asas kewujudan cerpen ini. Ceritanya bergerak dari babak itu lalu diperpanjang melalui susunan babak-babak silam berdasarkan teknik imbas kembali demi memperjelas konteks babak senapang diacu tersebut.
     Berbalik pada keganasan yang dimaksudkan, ia juga bertolak daripada kebenaran yang dipercayai masing-masing, yakni, seperti Proust, kedua-dua watak utama dalam “Pertembungan”, Ngan Wah dan juga Voon Hua memuja kebenaran yang dikelirukan konteksnya dengan ledakan ideologi komunis yang menghantui mereka sekian lama. Perseteruan mereka terjadi hasil ketidakfahaman ke atas tragedi yang menimpa mereka. Justeru, dalam pegangan kebenaran yang bersifat peribadi ini, keadilan amat diperlukan demi menemukan titik tengah antara kebenaran yang kelihatannya bercanggah.
     Jong Chian Lai melorongkan naratif pembinaan keadilan untuk kedua-dua watak ini melalui teknik imbas kembali yang matang – adunan jungkir balik realiti semasa dengan sejarah amat kemas disusun. Susunan kemas ini menzahirkan kecairan naratif yang enak dibaca terus-menerus meskipun menuntut perhatian teliti untuk menangkap naratif yang berbaur sebati itu. Penulis mahir menggunakan teknik stream of consciousness dalam garapan cerpen ini yang begitu berfungsi dalam menambah rencah kegalauan dalam latar cerita. Kejijikan menjadi tali barut ditonjolkan melalui beberapa ayat yang menyerlahkan kegalauan dalam cerpen ini seperti:

“Hatinya disuntik bisa lipan; bisa-bisanya meracuni perasaan.”
“Bau anjing itu tersedut ke hidungnya; amat meloyakan kerana kudisnya sudah berulat semacam merebaknya kegiatan orang-orang pekan membantu komunis.”


     Penulis juga mahir melandskapi penceritaan dengan terapan kepercayaan watak. Semestinya tidak sukar untuk kita membayangkan latar penceritaan pekan kecil di Sarawak ketika komunis bermaharajalela suatu ketika dahulu dengan membaca cerpen ini. Terdapat rekatan utuh antara kejahatan yang dipaparkan komunis dengan latar tempat yang digambarkan melalui deskripsi kecil seperti ‘kudisnya sudah berulat’.
     Dalam cerpen ini, beberapa siri keganasan seperti babak Ngan Wah, seorang askar mengacukan senapang ke arah Voon Hua, babak Ngan Wah menyelamatkan anak Voon Hua, iaitu Mei Mei daripada serakah nafsu komunis dan juga babak anak lelaki Voon Hua, iaitu Kuo Ming diheret masuk ke dalam perjuangan komunis telah membentuk karakter Ngan Wah yang menjadi asas pergerakan naratif.
     Kita diperlihatkan bagaimana Voon Hua sendiri membenci ideologi komunis tetapi terpaksa akur kepada kehendak komunis yang telah merampas anaknya Kuo Ming. Di mata Ngan Wah, Voon Hua ialah tali barut komunis. Itu adalah ‘kebenaran’ yang dipegang Ngan Wah. Dengan beberapa siri penangkapan tali barut komunis, semestinya Voon Hua tidak terkecuali. Bahkan tindakan penangkapan itu telah mengaibkan Voon Hua sehingga dia tidak dapat memaafkan Ngan Wah yang mengheretnya ke lokap. 
     Justeru, keadilan amat diperlukan dalam menjernihkan perbezaan dua ‘kebenaran’ yang dipegang oleh dua watak utama ini, iaitu Ngan Wah melihat Voon Hua seorang tali barut komunis dan Voon Hua pula melihat keterlibatannya dengan komunis bukanlah atas dasar suka rela. Oleh demikian, penulis menjernihkan pertembungan dua kebenaran ini melalui percintaan antara Mei Mei dengan Ngan Wah yang memerihalkan watak Mei Mei berkemampuan melihat kedua-dua kebenaran dari kaca mata kedua-dua watak, lantas menemukan keadilan di dalamnya.
     Berbalik pada kenyataan Georges Bataille tadi, kebenaran dan keadilan menuntut ketenangan meskipun dirangkumi keganasan – kita dapat melihat elemen ketenangan yang dimaksudkan melalui Mei Mei dan Soh Ang yang cuba memujuk Voon Hua supaya menerima detik hitam tika dilabel sebagai tali barut komunis lalu meneruskan kehidupan tanpa dendam.
     Namun kenyataan Georges Bataille tadi diberi kesudahan yang lebih baik oleh Jong Chian Lai apabila keganasan yang merangkumi kehidupan Voon Hua dan Ngan Wah dihapuskan serta-merta dengan kepulangan Kuo Ming yang tidak dijangka oleh Voon Hua sama sekali. Ia suatu penamat yang manis dan menampakkan kematangan penulis dalam menggarap tangga-tangga emosi dan perkembangan kematangan watak-wataknya meskipun dalam sebuah cerpen yang amat ringkas.

 

“Pertembungan” dalam Lensa John Yorke dan Umar Junus
Dalam bukunya yang berjudul Into The Woods, John Yorke menyatakan begini: “Perbezaan disatukan lantas memegunkan konflik.” Hal ini terpakai untuk setiap cerita yang digarap. 
     Dalam cerpen “Pertembungan” ini, kita dapat melihat perbezaan kebenaran yang didukung oleh Voon Hua dan Ngan Wah lalu dipegunkan konflik itu dengan pertembungan antara mereka berdua. Pendek kata, cerpen “Pertembungan” tidak terkecuali daripada kelaziman mengapa sesebuah cerita digarap. 
     Namun, John Yorke juga menjelaskan mengapa manusia begitu mendambakan cerita seperti ketagihan candu – cerita membawa batiniah diri ke dalam dakapan dunia luar supaya ia selari geraknya. Lalu ia membangkitkan persoalan penting, yakni sejauh mana cerpen “Pertembungan” mampu membawa pembacanya ke arah ungkapan John Yorke ini?
     “Kesemua kisah, akhirnya pada tahap tertentu, merupakan suatu perjalanan ke dalam hutan demi menemukan bahagian diri yang hilang, lalu mendapatkannya semula sekali gus melengkapkan diri sepenuhnya.” – Itulah fungsi sebuah kisah menurut John Yorke lantas menzahirkan keperluan untuk memastikan sesebuah kisah mendukung fungsi tersebut. Berbalik pada penceritaan dalam “Pertembungan” ini tadi, maka apakah konteks fungsi sebuah kisah menurut definisi John Yorke itu tadi terpakai untuk cerpen ini? 
     Untuk menjawab soalan ini, kita harus merenung kembali elemen dwipatriotisme yang menjadi tema berulang dalam karya-karya Jong Chian Lai. Selaku bangsa Cina, terdapat suatu kebanggaan dalam diri watak-watak berbangsa Cina menjadi orang Cina dan ini bolehlah ditafsirkan selaku patriotisme demi menegakkan hak bangsa. 

"Aku rela mati untuk bangsa kita. Mana maruah kau? Kau pentingkan diri sendiri. Bangsa yang tidak percaya pada kekuatan dirinya sendiri sebagai suatu bangsa, tidak akan dapat berdiri sebagai suatu bangsa yang merdeka." 

Meskipun begitu, Jong Chian Lai juga tidak sama sekali mengenepikan patriotisme selaku rakyat Malaysia yang cintakan negaranya.

"Aku malu! Hatiku dah hitam. Dia bongkak! Siapa nak jadi pembelot negara? Bukankah nenek moyang kita datang dari tembok besar... dan memberontak terhadap Brooke untuk hidup senang di sini? Nenek moyang dah tanam semangat berjuang untuk negara ni."

     Dwipatriotisme ini lazimnya bergerak selari dalam karya-karya Jong Chian Lai. Jong Chian Lai jelas sekali memulakan perjalanan ke dalam dunia pengkaryaan yang ibarat sebuah hutan penuh misteri demi menjawab identitinya selaku orang Cina yang negaranya Malaysia, yakni suatu usaha menyempurnakan jawapan-jawapan yang menjurus kepada menjadi manusia yang lengkap serba-serbi pemikiran dan jati dirinya. Keabsahan dwipatriotisme supaya diterima masyarakat Malaysia umumnya ini juga menjadi perjuangan Jong Chian Lai dalam karya-karyanya dan ia dipertontonkan sekali lagi dalam pengkaryaan cerpen “Pertembungan” ini.
     Berbalik pada persoalan sebelumnya pula, iaitu adakah cerita membawa batiniah diri ke dalam dakapan dunia luar supaya ia selari geraknya? Untuk menjawab persoalan ini, selaku pembaca, amat mudah mengenal pasti ciri-ciri sebuah garapan cerpen yang baik dalam cerpen “Pertembungan”. Garapan emosi watak-wataknya dapat dirasai pembaca lalu meninggalkan kesan pada batiniah pembaca. Aib yang tebal dalam diri Voon Hua yang dilabel tali barut komunis diperkuatkan melalui dialog berikut:

"Biarpun pindah ke bulan, sekalipun pindah ke matahari... malu itu tetap terkubur di sini." Dia menuding dadanya. "Bila aku mati nanti, ia tetap turut dikuburkan. Aku malu Soh Ang. Malu bukannya di muka. Tapi hati ni... parah. Malu!" Tersembur air liur Voon Hua.

Atau barangkali jika mahu melihat keluarbiasaan cerpen ini, kita mungkin boleh merujuk kepada terma “Mensejarahkan Fiksyen” yang diungkapkan oleh Umar Junus dalam naskhah Fiksyen dan Sejarah – Suatu Dialog.
     Realitinya, kisah pertelingkahan antara Ngan Wah dan Voon Hua hakikatnya suatu perkara yang tidak asing lagi baik apa-apa jua latar ceritanya. Andai kata kita mengasingkan latar waktu daripada jalan ceritanya, kita akan menemukan cara-cara lain untuk menjelaskan pertelingkahan antara Ngan Wah dan Voon Hua ini. Sebagai contoh, boleh sahaja kita meletakkan Ngan Wah dan Voon Hua pada masa kini, lalu Ngan Wah melaporkan Voon Hua kepada pihak polis atas apa-apa jua jenis kesalahan yang menjurus kepada penangkapan Voon Hua. Aib yang dilalui Voon Hua ketika penangkapannya itu diketahui ramai lantas mencetuskan dendam yang tidak terhingga terhadap Ngan Wah. Kesalahan jenayah itu boleh jadi apa-apa sahaja. Mungkin Ngan Wah boleh menuduh Voon Hua mencuri wang simpanannya. Mungkin juga Ngan Wah menuduh Voon Hua memukul orang tuanya. Dan jika kita mahu setia pada susunan penceritaan dalam cerpen “Pertembungan” ini, kita bolehlah membuatkan Voon Hua langsung tidak berbuat apa-apa jua jenayah yang disabitkan terhadapnya itu. Lalu keluarga Voon Hua pula bertindak selaku pendamai yang menyedarkan Ngan Wah akan kesilapannya dan juga memaklumkan keinsafan Ngan Wah itu kepada Voon Hua.
     Bertitik tolak daripada premis ringkas ini, kita boleh melihat bagaimana Jong Chian Lai mensejarahkan fiksyen dengan meletakkan pertelingkahan antara Ngan Wah dan Voon Hua berpunca daripada desakan komunis. Di samping itu, proses mensejarahkan fiksyen ini begitu alami ketika dibaca dan tidak kelihatan canggung meskipun kita boleh mempersoal keberadaan watak-wataknya selaku cerminan kelompok manusia dalam realiti pada waktu itu. 
     Umar Junus dalam bukunya itu turut menyatakan bahawa “Sejarah pada dasarnya hanya warna, yang memberi warna pada fiksyen.” Dan hal ini membuatkan cerpen “Pertembungan” menimbulkan suatu elemen penarik yang bukan sekadar fiksyen sosial tetapi juga sebuah fiksyen yang sarat ideologi dan pemikiran yang diwarnakan oleh sejarah itu tadi.
     Umar Junus juga dalam makalahnya yang berjudul “Peranan Khalayak Dalam Novel” ada memperkatakan peri pentingnya peranan khalayak pembaca dalam memaknakan sesebuah cerita. Khalayak dilihat lebih berpengetahuan berbanding watak-watak dalam sesebuah cerita sekali gus menghadirkan pemahaman mendalam pembaca terhadap apa yang digarap pengarang. 
     Oleh yang demikian, apabila membaca cerpen “Pertembungan”, terdapat suatu kekeliruan pada pembacaan kali pertama yang menjerumuskan pembaca ke dalam kancah ketidakfahaman. Dalam erti kata lain, proses pemaknaan cerita gagal dicapai dengan pembacaan sambil lewa lantas menuntut pembacaan yang lebih berfokus demi memaknakan dengan lebih lanjut apakah yang cuba disampaikan pengarang.
     Hal ini menjelaskan betapa pentingnya khalayak pembaca menyediakan diri dengan sedikit sebanyak pengetahuan melalui pembacaan yang banyak diselangi analisis ke atas karya-karya yang dibaca. Untuk seorang pengarang yang berpengalaman dan berpengetahuan luas seperti Jong Chian Lai, seorang pembaca harus serba-sedikit tahu teknik penceritaan yang digunakan demi mendalami keindahan garapan sebuah fiksyen Jong Chian Lai.

Kesimpulan
Prinsip kebenaran dan keadilan jelas difahami sepenuhnya oleh pengarang apabila meladeni teks cerpen itu dengan konteks teks Georges Bataille. Jika diteliti struktur penceritaan dan konsep sebuah cerita yang baik menurut John Yorke, pengarang juga menampakkan kematangan dalam menyampaikan sebuah cerita yang cukup rencah falsafah sebuah fiksyen. Manakala, menurut konteks pensejarahan fiksyen dan juga peranan khalayak dalam memaknakan sesebuah fiksyen yang diperkenalkan oleh Umar Junus, pengarang menampakkan kemampuan untuk menerapkan watak-watak kontemporari yang malar hijau meskipun cerpennya diwarnakan dengan sejarah sebegitu pekat. Dalam erti kata lain, cerpen ini menampakkan hasil garapan yang mematuhi konseptualiti sebuah fiksyen berkualiti yang lengkap elemen emosi, ideologi dan juga pemikiran.

 
 
Advertisement