Anda di sini

Penemuan bentuk menyerupai kucing di Gua Niah jadi tarikan baharu pelancong

Advertisement
Rosey (empat kanan depan) bergambar bersama sebahagian ahli rombongan yang berlatarbelakangkan  penemuan menarik berbentuk seekor kucing pada dinding gua.
Rosey (empat kanan depan) bergambar bersama sebahagian ahli rombongan yang berlatarbelakangkan penemuan menarik berbentuk seekor kucing pada dinding gua.

MIRI: Penemuan satu bentuk menarik menyerupai seekor kucing pada dinding gua batu kapur diharap dapat menjadi satu lagi mercu tanda dan tarikan baharu untuk menarik lebih ramai pelancong berkunjung ke Taman Negara Niah.

Menteri Muda Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Masyarakat Datuk Rosey Yunus berkata ia satu penemuan yang sangat menarik kerana sebelum ini belum ada pihak yang mengetengahkan penemuan tersebut.
    
"Dalam lawatan hari ini (semalam), di satu laluan yang kita lalui, kita sempat melihat satu bentuk yang sangat menarik iaitu berbentuk seperti seekor kucing.
    
"Jadi, ia merupakan satu penemuan yang sangat menarik bagi kita sebab difahamkan sebelum ini rasanya tidak ada (pihak) yang pernah mengetengahkan penemuan tersebut," katanya.
    
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bekenu berkata demikian ketika ditemui semasa mengadakan lawatan santai ke Taman Negara Niah pada Khamis.
    
Lawatan itu turut disertai beberapa orang wakil media, ahli Wanita Persatuan Bumiputera Bersatu (PBB) Bekenu, Saberkas Bekenu serta ahli keluarga beliau sendiri.
    
Sehubungan itu, beliau berharap penemuan menarik menyerupai seekor kucing yang sedang duduk pada dinding gua batu kapur itu dapat menjadi tarikan baharu untuk menarik lebih ramai pelancong datang berkunjung ke Gua Niah di masa akan datang.
    
Dalam pada itu, ketika diminta mengulas tentang Taman Negara Niah yang dicadangkan sebagai Tapak Warisan Dunia, beliau menyokong penuh cadangan itu dan berharap ia akan menjadi kenyataan.
    
"Menyentuh tentang Gua Niah (Taman Negara Niah) yang dicadangkan untuk diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia, ia sesuatu yang amat perlu kerana penemuan sejarah bermula di sini.  (Sebenarnya) Jauh lebih awal dari tempat yang lain.
    
"Kalau sebelum ini dikatakan 45,000 tahun yang lepas, namun ada satu lagi kajian yang mengatakan ia ditemui dalam 65,000 tahun yang lalu. Ini bermakna sejarah Gua Niah jauh ke belakang dan amat wajar ia diiktiraf sebagai satu daripada warisan dunia," ujar beliau lanjut.
    
Sehubungan itu kata Rosey, sama-samalah kita berdoa agar cadangan itu diluluskan dan Gua Niah dapat diiktiraf sebagai satu daripada Tapak Warisan Dunia.
    
"Sebenarnya lawatan hari ini juga merupakan satu hari yang amat bersejarah bagi saya kerana kali terakhir saya berkunjung ke sini adalah pada tahun 1970-an. Banyak perubahan yang saya lihat.
    
"Hari ini saya datang bersama rombongan yang terdiri daripada beberapa wakil media, Wanita PBB Bekenu, Saberkas Bekenu serta ahli keluarga saya sendiri," ujarnya sambil memberitahu lawatan turut diiringi oleh dua orang warden taman.
 

  • oleh
  • Advertisement