Anda di sini

Permohonan kewarganegaraan Mohammad Aidill diluluskan, berharap dapat sambung pelajaran

Advertisement

SIBU: Mohammad Aidill Maula Hamdan, 19, akhirnya boleh mengimpikan masa depan yang lebih cerah selepas proses permohonan kewarganegaraannya diluluskan Kementerian Dalam Negeri di bawah Perkara 15A Perlembagaan Persekutuan.

Mohammad Aidill menerima surat keputusan permohonan daripada Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Dato Sri Fatimah Abdullah pada majlis penyerahan di Pejabat Kebajikan Bahagian Sibu, Kompleks Islam Sibu pada Rabu.

Mohammad Aidill yang merupakan anak sulung daripada tujuh beradik itu berharap dapat menyambung pelajaran sebaik mendapat taraf kewarganegaraan.

"Semasa kecil, saya bercita-cita ingin menjadi polis dan apabila saya semakin dewasa, saya memutuskan untuk menjadi guru," jelasnya yang telah memohon melanjutkan pengajian di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

Fatimah menyerahkan Surat Keputusan Permohonan Kewarganegaraan Perkara 15A Perlembangaan Persekutuan kepada Mohammad Aidill sambil diperhatikan Khairuddin, Halimah dan Hamdan.
Fatimah menyerahkan Surat Keputusan Permohonan Kewarganegaraan Perkara 15A Perlembangaan Persekutuan kepada Mohammad Aidill sambil diperhatikan Khairuddin, Halimah dan Hamdan.

Mohammad Aidill memperolehi keputusan A- dalam mata pelajaran Perniagaan, Geografi dan Bahasa Melayu dan Pengajian Am (B+) dalam Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dengan CGPA 3.59.

Dengan keputusan itu, beliau turut menerima surat tawaran daripada Universiti Teknologi Sarawak (UTS).

Naib Canselor UTS Profesor Datuk Dr Khairuddin Abdul Hamid menyerahkan surat itu kepadanya pada Rabu.

Menurutnya, kerana status 'belum ditentukan' sejak lahir, ibu bapanya terpaksa membayar yuran sekolah yang lebih tinggi untuk membolehkannya belajar.

Beliau berkata yuran tahunan sekolah rendah ialah RM120 manakala yuran tahunan sekolah menengah RM240.

"Yuran peperiksaan STPM ialah RM237 untuk setiap semester dan semuanya ada tiga semester. Untuk Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), saya ambil sembilan subjek dengan yuran sebanyak RM245," ujarnya.

Mohammad Aidill menerima pendidikan sekolah rendah di Sekolah Kebangsaan (SK) Sibu Jaya, kemudian ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sibu Jaya sehingga Tingkatan 3.

Beliau kemudian melanjutkan pelajaran di SMK Matu sehingga Tingkatan 5 dan menyambung Tingkatan 6 di SMK Toh Puan Datuk Patinggi Hajjah Normah Daro (SMK TPDPH Normah).

Semasa di sekolah, Mohammad Aidill menyertai kokurikulum unit beruniforrm Kadet Polis dan Persatuan Bahasa Melayu.

Sementara itu, ibunya Halimah Buang, suri rumah, melahirkan rasa gembira anak lelakinya akhirnya mendapat kelulusan proses permohonan kewarganegaraan.

"Ia adalah sukar terutamanya apabila waktu membayar yuran sekolah, kami berusaha demi masa depan anak-anak," katanya sambil memberitahu permohonan kewarganegaraan telah dikemukakan pada 2016.

Bapa Mohammad Aidill, Hamdan Mohamad merupakan pesara tentera dan kini bekerja sebagai nelayan di Matu, mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Sarawak, Kementerian Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti serta Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Negeri kerana membantu dalam permohonan mereka.

  • oleh
  • Advertisement