Anda di sini

Penduduk Vista Perdana persoal kriteria pembinaan persimpangan lampu isyarat tidak menepati janji

Advertisement

MIRI: Penduduk perumahan Vista Perdana di sini mempersoalkan rekabentuk projek pembinaan lampu isyarat yang sepatutnya dibina di Jalan Bypass untuk kemudahan penduduk tidak menepati seperti yang dijanjikan sebelum ini.

Penduduk yang meluahkan aduan dalam Jawatankuasa Penduduk Zon Vista Perdana memberitahu rekabentuk lampu isyarat yang dibina ketika ini seolah-olah untuk kegunaan penduduk perumahan elit berdekatan.

"Kita melihat lampu isyarat yang hampir siap dibina itu adalah untuk kegunaan penduduk di perumahan elit bersebelahan dan bukannya seperti yang dipaparkan dalam akhbar pada awal Januari lalu," katanya.

Menurut pengadu, penduduk di kawasan Vista Perdana adalah ramai, malahan bilangan kenderaan keluar masuk ke perumahan itu juga bertambah berbanding perumahan elit di seberang jalan.

"Kami terpaksa membuat pusingan-U sejauh kira-kira empat kilometer untuk ke Vista Perdana jika menggunakan Jalan Bypass dan keadaan bertambah sesak pada waktu puncak," jelasnya.

Rekabentuk pembinaan lampu isyarat berhampiran salah satu jalan masuk ke Vista Perdana yang dikatakan bukan untuk kegunaan penduduknya tetapi lebih kepada kegunaan penduduk di perumahan elit bersebelahan.
Rekabentuk pembinaan lampu isyarat berhampiran salah satu jalan masuk ke Vista Perdana yang dikatakan bukan untuk kegunaan penduduknya tetapi lebih kepada kegunaan penduduk di perumahan elit bersebelahan.

Sehubungan itu, penduduk katanya mahu pihak berkaitan melihat dan merancang semula rekabentuk lampu isyarat untuk kegunaan kedua-dua penduduk perumahan berdekatan.

Malahan ada pengadu memberitahu sekiranya berlaku kecemasan atau kebakaran, pihak berkaitan terpaksa membuat pusingan U yang jauh untuk masuk ke Vista Perdana.

"Jika dilihat pada rekabentuk lampu isyarat terbabit, ia lebih kepada kegunaan penduduk perumahan elit berdekatan sedang lampu isyarat ini dijanjikan untuk penduduk Vista Perdana yang mempunyai bilangan penduduk yang lebih ramai," jelasnya.

Perumahan berkenaan mempunyai Vista Perdana Fasa 1, Fasa 2 dan Fasa 3 (yang akan dibangunkan), selain kediaman apartment, semi-D dan banglo.

Jalan keluar masuk ke Vista Perdana kebiasaannya sesak ketika waktu puncak iaitu orang ramai turun bekerja, menghantar anak ke sekolah dan sebagainya.

Penduduk Vista Perdana berharap pihak berkaitan turun padang dan menilai semula projek berkenaan seperti yang telah dijanjikan sebelum ini.

Dalam siaran akhbar ini pada 8 Januari lalu, Menteri Pengangkutan Sarawak Datuk Lee Kim Shin berkata satu lampu isyarat akan dipasang di simpang jalan kawasan Vista Perdana, iaitu salah satu lokasi paling sesak pada waktu puncak.

Beliau dipetik berkata cadangan pemasangan lampu isyarat itu juga perlu memandangkan Vista Perdana merupakan kawasan perumahan dan pusat komersial yang semakin membangun dan pada masa sama, pengguna tidak perlu memandu sejauh 1.5 kilometer semata-mata untuk membuat pusingan U,. jika mahu ke Lutong, South Lake ataupun Permyjaya.

Advertisement