Anda di sini

Telco digalak guna kemudahan menara bagi tingkat liputan Internet luar bandar

Advertisement
 Julaihi (kiri) melancarkan BaSICS oleh irix sebagai simbolik bersama Pengerusi irix Abang Abdillah Izzarim Abang Johari pada majlis di BCCK hari ini. - Gambar Muhammad Rais Sanusi.
Julaihi (kiri) melancarkan BaSICS oleh irix sebagai simbolik bersama Pengerusi irix Abang Abdillah Izzarim Abang Johari pada majlis di BCCK hari ini. - Gambar Muhammad Rais Sanusi

KUCHING: Kerajaan negeri menggalakkan syarikat telekomunikasi atau telco mengambil peluang menggunakan kemudahan menara yang dibina bagi memastikan kawasan luar bandar khasnya menerima liputan Internet seperti yang disasarkan.

Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Datuk Julaihi Narawi berkata, ia selaras dengan hasrat kerajaan negeri agar seluruh Sarawak dapat mencapai liputan internet sepenuhnya menjelang 2030.

"Untuk tujuan ini, kita dianggarkan perlu membina lebih kurang 7,000 menara telco di seluruh Sarawak di mana sehingga kini kita telah membina hampir 3,500 menara di seluruh Sarawak dan 1,043 lagi sedang dalam proses pembinaan.

"Kita dapati bahawa untuk mencapai sasaran 7,000 memang memerlukan masa, apa yang penting apabila menara kita siap kita memohon agar semua syarikat penyedia telekomunikasi mengambil peluang untuk menggunakan menara yang telah dibina di seluruh Sarawak supaya liputan Internet boleh dicapai di semua tempat seluruh Sarawak," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan pelancaran irix’s Batam Internet Cable System (BaSICS) dan TIER IV Data Centre di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini, hari ini.

Tambah Julaihi, sementara itu di bawah usaha kerajaan negeri menerusi Lembaga Multimedia Sarawak (SMA) sebanyak 600 menara akan dibina dengan dibahagikan kepada dua fasa, iaitu masing-masing 300 menara bagi setiap fasa.

Ujarnya fasa pertama melibatkan 300 menara yang sedang dibina dan kini sedang dalam pemasangan peralatan telekomunikasi yang dikendalikan Perbadanan Ekonomi Digital Sarawak (SDEC).

"Fasa pertama sekarang SDEC sedang memasang semua peralatan telekomunikasi di seluruh menara yang sedang dibina kerana sebelum ini fasa ini tidak dipasang dengan peralatan telekomunikasi namun fasa kedua nanti ia akan terus serentak dengan pemasangan peralatan terbabit.

"Harapan kita supaya syarikat penyedia telco seperti Celcom, Maxis, Digi atau U-Mobile dapat menggunakan menara tersebut. Buat masa ini penyedia telco lebih menumpukan kawasan bandar bukan luar bandar yang menyebabkan kawasan luar bandar Sarawak kurang mendapat manfaat.

"Dengan itu kita amat menggalakan mereka pergi lebih jauh atau memperluaskan lagi perkhidmatan mereka ke kawasan luar bandar kerana kita telah membina banyak menara bagi membolehkan kawasan luar bandar Sarawak mendapat capaian kemudahan internet," tegasnya.

Malahan kata Julaihi, kerajaan negeri telah membelanjakan RM2 bilion untuk membolehkan liputan Internet lebih menyeluruh di Sarawak selain daripada kerajaan persekutuan menerusi Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM) yang telah meluluskan RM4 bilion bagi memudahkan pembinaan dan pemasangan peralatan telekomunikasi seluruh negeri.

Beliau berkata dengan itu kerajaan negeri amat mengalu-alukan usaha oleh syarikat telekomunikasi berpangkalan di Kuching iaitu irix yang menyediakan kemudahan infrastruktur telekomunikasi.

"Ia memberi peluang kepada syarikat atau pemain industri dalam telco di Sarawak menggunakan infrastruktur yang disediakan irix yang menghubungkan Sarawak dengan dunia luar," katanya.

Beliau yakin dengan adanya syarikat seperti irix itu, ia mampu membantu kerajaan negeri mencapai negeri berpendapatan tinggi menjelang tahun 2030.

Advertisement