Anda di sini

Rakyat Sarawak nikmati capaian Internet lebih baik selepas pelancaran rasmi BaSICS

Advertisement
Julaihi (kanan) dan Abang Abdillah Izzarim (kiri) menyaksikan pertukaran dokumen antara irix yang diwakili Jonathan (dua kiri) bersama SAINS yang diwakili Busiai. - Gambar Muhammad Rais Sanusi.
Julaihi (kanan) dan Abang Abdillah Izzarim (kiri) menyaksikan pertukaran dokumen antara irix yang diwakili Jonathan (dua kiri) bersama SAINS yang diwakili Busiai. - Gambar Muhammad Rais Sanusi

KUCHING: Rakyat Sarawak bakal menikmati capaian Internet lebih baik selepas pelancaran rasmi Sistem Kabel Internet Batam Sarawak (BaSICS) sepanjang 700 kilometer (km) yang telah siap oleh syarikat telekomunikasi yang berpangkalan di Kuching iaitu irix.

irix yang merupakan identiti jenama untuk PP Telecommunication Sdn Bhd (PPTEL), juga melancarkan Pusat Data Santubong Tier IV (irix DC), satu daripada 30 pusat data Tier IV di seluruh dunia dan satu-satunya di Malaysia.
 
Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Datuk Julaihi Narawi yang merasmikan majlis pelancaran itu turut mengalu-alukan usaha irix atas pencapaian itu yang diyakini mampu memberi banyak kelebihan kepada semua pemain industri untuk menyertai ekonomi digital Sarawak.

Beliau berkata malahan ia juga dijangka menjadi tarikan kepada pelabur antarabangsa untuk datang ke Sarawak terutama dalam bidang berkaitan.

"Ia (BaSICS) merupakan infrastruktur yang penting dilakukan oleh irix dan kami amat mengalu-alukan usaha ini agar dapat memberi impak besar kepada Sarawak dan Malaysia amnya.

"Begitu juga dengan irix DC, dengan adanya pusat ini ia pasti menarik banyak pelabur datang ke Sarawak sekali gus mencapai sasaran kita di bawah Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030)," katanya berucap pada majlis yang diadakan di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini, hari ini.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif PPTEL Dr Jonathan Smith berkata BaSICS ialah kabel bawah air yang membentang kira-kira 700km dan menghubungkan Sarawak ke hab telco serantau Singapura melalui Batam di Indonesia.
 
Beliau menjelaskan BaSICS terdiri daripada enam pasang gentian, setiap satu dengan 80 panjang gelombang kapasiti penghantaran 100Gbps, supaya jumlah kapasiti sistem ialah 48 Tbps.

Katanya, BaSICS dibangunkan secara persendirian oleh Irix dengan rakan kongsi dan membentuk lebuh raya super data yang membawa sambungan Internet di Sarawak ke peringkat seterusnya.
 
"Sistem kabel ini adalah langkah pertama dalam visi keseluruhan kami untuk menjadikan Sarawak pilihan yang berdaya maju sebagai hab data serantau di samping pemain yang sedia ada," katanya.

Pada sidang media kemudiannya beliau berkata projek mengambil masa empat tahun untuk menyiapkan pemasangan kabel.
 
"Ia telah diuji sepenuhnya dengan trafik berjalan dan kami bersedia untuk mengambil pelanggan," katanya.

Mengenai irix DC, beliau berkata ia telah dianugerahkan pensijilan Tahap IV oleh Institut Uptime menjadikannya satu-satunya seumpamanya di Malaysia.
 
Beliau juga berkata ia sedia untuk beroperasi dan menyediakan titik pendaratan untuk BaSICS ke Sarawak.
 
"Tier IV (pusat data) bermakna data akan sentiasa selamat dan boleh diakses serta tidak akan berada di luar talian, menjadikannya sumber yang sangat boleh dipercayai untuk kandungan Internet, sama ada perbankan Internet, media sosial, atau hanya menonton filem.

"Kabel kami akan membawa Sarawak lebih dekat dengan laluan Internet. Pada masa ini, laluan itu melalui Singapura, Hong Kong dan lokasi lain tetapi ia tidak masuk terus ke Sarawak," katanya.

Sementara itu turut diadakan majlis menandatangani memorandum persefahaman antara irix dan Sarawak Information System Sdn Bhd (SAINS), masing-masing diwakili Jonathan dan Ketua Pegawai Eksekutif SAINS Busiai Seman.

Hadir sama Pengerusi irix Abang Abdillah Izzarim Abang Johari dan Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din.

Advertisement