Anda di sini

Klinik Kesihatan Semera Lot bakal mendapat kabin bangunan baharu

Advertisement

SIMUNJAN: Klinik Kesihatan (KK) Semera Lot, Asajaya bakal mendapat satu kabin (blok) bangunan baharu bagi memudahkan urusan menempatkan pesakit sekali gus perkhidmatan kesihatan dapat dilaksanakan dengan baik.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata, ini kerana bangunan (lama) di KK terbabit yang sebelum ini digunakan untuk pesakit selepas bersalin tidak selamat untuk digunakan.

"Tindakan (pembinaan kabin) baharu itu dilengkapi kemudahan pendingin hawa sebagai langkah sementara waktu bagi menunggu permohonan pembinaan KK baharu di Semera, berikutan KK terbabit antara bangunan yang daif di Sarawak.

"Sementara menunggu keputusan itu, peruntukan untuk membina kabin tersebut telah diluluskan supaya perkhidmatan perubatan di KK Semera Lot, Asajaya tidak terganggu.

"Kabin ini nanti turut disediakan dengan kemudahan pendingin hawa sekali gus menjadikan ia selesa bagi kegunaan sementara," katanya pada sidang media sempena lawatan ke Hospital Simunjan, di sini pada Isnin.

Khairy mengadakan lawatan ke Hospital Simunjan diiringi Dr Noraziela (kiri).
Khairy mengadakan lawatan ke Hospital Simunjan diiringi Dr Noraziela (kiri).

Pada lawatan itu, Khairy turut meninjau KK Sadong Jaya, Hospital Simunjan dan KK Gedong.

Menurut Khairy, di KK Sadong Jaya, beberapa kerja untuk menaik taraf KK terbabit telah dimohon terutama melibatkan bangunan bilik rawatan kecemasan.

"Ini kerana, bilik terbabit sudah dipenuhi pesakit sehingga pesakit lain terpaksa menunggu di bawah khemah dan ini tidak dapat menampung pesakit harian yang semakin bertambah.

"Oleh itu, kita di Kementerian meluluskan pembinaan dan naik taraf bilik rawatan kecemasan dan laluan tangga yang sudah usang.

"Kita juga bercadang memasukkan satu KK baharu di Sadong Jaya untuk perancangan akan datang  untuk kegunaan jangka panjang," jelasnya sambil menambah, turut diluluskan jana kuasa tunggu sedia sebagai langkah mengatasi sewaktu ketiadaan elektrik.

Selain itu, beberapa peralatan yang diperlukan untuk tujuan perubatan di KK terbabit turut diluluskan.

Hadir sama, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Nancy Shukri, Timbalan Premier Sarawak Dato Sri Dr Sim Kui Hian, Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan, Datuk Harjeet Singh a/l Hardev Singh, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simunjan Awla Dris, Pengarah Kesihatan Negeri Dr Ooi Choo Huck dan Pengarah Hospital Simunjan Dr Noraziela Morney.

  • oleh
  • Advertisement