Anda di sini

Dua lelaki bawa kabel curi berjaya diberkas

Advertisement

KUCHING: Dua lelaki yang videonya tular di media sosial menunggang motosikal dengan membawa barang dipercayai kabel curi berjaya diberkas polis pada Isnin.

Ketua Polis Daerah Kuching Ahsmon Bajah berkata kedua-dua suspek berusia 18 dan 26 tahun terbabit ditangkap kurang daripada 24 jam selepas video mereka tular iaitu sekitar jam 9 malam.

Menurutnya, tangkapan juga adalah susulan laporan polis berkaitan kehilangan kabel yang dibuat oleh sebuah syarikat telekomunikasi di Jalan Keranji pada hari yang sama.

"Polis mengesan satu video berdurasi 24 saat di Facebook menunjukkan dua lelaki menaiki motosikal yang dipercayai membawa kabel curi dan pada masa sama terdapat juga laporan daripada sebuah syraikat telekomunikasi mengenai kes kecurian kabel.

"Hasil siasatan polis berjaya membawa kepada penangkapan kedua-dua suspek dan turut merampas kabel tersebut daripada mereka," katanya menerusi satu kenyataan pada Selasa.

Tangkap layar dari video yang tular di media sosial.
Tangkap layar dari video yang tular di media sosial.

Tambahnya, kedua-dua suspek juga masing-masing mempunyai 12 rekod jenayah lampau berkaiatan kes dadah dan jenayah harta benda.

"Kertas siasatan dibuka di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau dengan denda," katanya.

Justeru Ahsmon menyeru orang ramai untuk terus menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti jenayah dengan menghubungi Pusat Kawalan IPD Kuching di talian 082-244444.

Maklumat juga boleh disalurkan di mana-mana balai polis berhampiran.

Advertisement