Anda di sini

Suami isteri dipercayai edar dadah diberkas di JB

Advertisement
 

JOHOR BAHRU: Sepasang suami isteri yang dipercayai mengedar dadah diberkas di tempat letak kenderaan sebuah pasar raya di bandar raya ini pada Khamis (1 September) lepas.

Ketua Polis Johor Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata lelaki berusia 42 dan wanita 36 tahun itu dipercayai melakukan kegiatan tersebut sejak empat bulan lepas dengan menjadikan pangsapuri mereka di Larkin, di sini sebagai stor penyimpanan dadah.

Beliau berkata dalam serbuan itu, pihaknya menemukan 14.32 kilogram heroin, 158 gram (g) serbuk ekstasi, 38.23g syabu dan 71g ketamin dengan keseluruhan bernilai RM214,287.

“Modus operandi pasangan warga tempatan ini adalah dengan menjadi orang tengah antara pembekal dan pembeli serta dijual untuk pasaran tempatan di sekitar bandar raya ini. Kami sedang menyiasat pembekal dadah mereka,” katanya pada sidang media, di sini hari ini.

Kamarul Zaman berkata siasatan mendapati lelaki terbabit mempunyai rekod jenayah berkaitan dadah, manakala wanita itu pula mempunyai rekod berkaitan Akta Kanak-Kanak 2001, namun ujian saringan air kencing yang dijalankan terhadap kedua-duanya adalah negatif.

Beliau berkata pasangan itu direman selama tujuh hari bermula 2 Sept dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Sementara itu dalam kes berlainan, Kamarul Zaman berkata Pasukan Polis Marin Wilayah Dua merampas sebanyak 6,168 tin dan 951 botol minuman keras pelbagai jenama tidak bercukai bernilai RM305,252 di sebuah premis di Jalan Riang Utama, Taman Gembira di sini pada 1 Sept lepas.

Beliau berkata lelaki tempatan berusia 53 tahun yang merupakan pemilik premis itu turut diberkas dalam serbuan pada 7 malam.

“Pelbagai minuman keras dirampas dan selain tidak bercukai, ada juga antaranya arak jenis tiruan. 

“Minuman keras ini dipercayai dari kawasan zon bebas cukai dan ia dipasarkan secara runcit di sekitar Johor Bahru dengan menggunakan kenderaan persendirian,” katanya.

Beliau berkata lelaki terbabit direman selama 10 hari bermula 2 Sept dan kes disiasat mengikut Seksyen 135 (1) (d) Akta Kastam 1967 dan Seksyen 4 (1) (c) Akta Memperbaharui Undang-Undang 1976 (Penghapusan Samsu Gelap). - BERNAMA
 

Advertisement