
SIBU: Pertandingan Liga Bola Sepak Zon Tengah Sarawak 2022 yang julung kali dianjurkan akan mengalami sedikit perubahan bagi menambah baik penganjurannya bagi tahun depan.
Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Dr Annuar Rapaee berkata, beliau telah menerima beberapa cadangan bagi menambah baik liga itu yang telah bermula sejak awal Jun lepas.
"Selepas ini kita akan mengadakan sedikit bengkel bagi menambahbaik pertandingan, misalnya kemungkinan pada tahun hadapan akan bermula lebih awal.
"Kedua kita akan menambahkan pasukan untuk setiap kumpulan, kemungkinan lima pasukan bagi setiap kumpulan menjadikan 20 pasukan yang bertanding," ujarnya kepada pemberita pada pertandingan akhir liga di Stadium Azman Hashim, Sibu Jaya dekat sini, semalam.
Pertandingan akhir Liga Bola Sepak Zon Tengah Sarawak menyaksikan pertemuan antara pasukan 7DSC menentang Machan FC.
Anuar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nangka berkata, cadangan lain termasuk pertandingan 'home away' mungkin akan diubah sedikit sebab memakan belanja yang agak besar.
"Mungkin 'home away' kita ubah di peringkat suku akhir dan bukannya di peringkat kumpulan.
"Ini antara beberapa cadangan yang telah saya terima untuk tahun hadapan," jelasnya.
Di samping itu, beliau juga berharap zon-zon lain di Sarawak dapat mewujudkan liga sama, sekali gus membentuk liga untuk seluruh negeri.
"Saya berharap pertandingan ini dapat meningkatkan mutu permainan bola sepak khususnya di zon tengah.
"Kita juga berharap zon-zon lain di Sarawak akan wujudkan liga seperti ini.
"Kalau boleh, kita wujudkan liga untuk seluruh negeri Sarawak," ujarnya sambil menambah liga zon tengah ini telah bermula 11 Jun dan berakhir semalam.
Liga disertai 14 pasukan yang dibahagikan kepada empat kumpulan.
Kejohanan dianjurkan Sekretariat Sukan, Budaya dan Perpaduan Nangka serta Pusat Khidmat N.55 Nangka dan Komuniti Nangka Challenge.
Juara akan menerima wang tunai RM30,000, sementara naib juara menerima RM15,000, piala dan pingat.
Tempat ketiga bersama akan menerima wang tunai RM5,000 berserta piala dan pingat.