Anda di sini

Perbezaan harus jadi kekuatan untuk Malaysia terus maju

Advertisement
Nanta berkongsi cerita mengenai bapa pengasas Malaysia di program Khas Merdeka di Tugu Negara di sini hari ini. - Gambar BERNAMA
Nanta berkongsi cerita mengenai bapa pengasas Malaysia di program Khas Merdeka di Tugu Negara di sini hari ini. - Gambar BERNAMA

KUALA LUMPUR: Sebagai individu di sebalik pembentukan Malaysia, Tun Temenggong Jugah Barieng pernah berkata bahawa perbezaan dalam masyarakat seharusnya menjadi kekuatan kepada kita bagi membina Malaysia yang progresif dan aman.

Hari ini semangat itu terus berkobar dalam diri cucu lelakinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi yang merupakan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna. 

Bagi generasi muda hari ini yang mungkin tidak tahu, Jugah merupakan tokoh penting dalam penubuhan Malaysia pada 1963 dan beliau merupakan pemimpin Sarawak pertama dilantik sebagai menteri dalam kerajaan Persekutuan dengan memegang jawatan Menteri yang menguruskan Hal Ehwal Sarawak.

Nanta berkata datuknya adalah seorang lelaki biasa yang tidak pernah mendapat pendidikan profesional tetapi semangat dan cintanya terhadap masyarakat Sarawak terutama kaum Dayak ketika era British mendorongnya untuk mengimpikan dan memperjuangkan yang terbaik bagi masyarakatnya.  

Beliau berkata impian itu juga akhirnya telah membawa Jugah yang (ketika itu) mewakili kaum Dayak, meyakinkan kerajaan British bagi pembentukan Malaysia, walaupun untuk mendapatkan sokongan daripada masyakat Dayak terhadap idea itu bukan tugas yang mudah.

“Beliau lakukan kerana beliau mahu rakyat Sarawak terutama orang Dayak terus maju dalam pendidikan dan pembangunan. Jadi beliau berjuang dengan sepenuh hati untuk memastikan pembentukan itu mendapat sokongan dan diterima oleh seluruh rakyat Sarawak.

“...sudah tentu sepanjang tempoh itu juga, beliau selalu berkata bahawa beliau mahukan Malaysia yang bersatu, sebuah negara yang kita boleh banggakan walaupun kita mempunyai perbezaan dalam banyak perkara, ia sebagai hasil daripada pembentukan itu,” katanya ketika menjadi tetamu khas bagi berkongsi cerita mengenai bapa pengasas Malaysia di program Khas Merdeka di Tugu Negara di sini hari ini.

Menurut Nanta sebagai satu-satunya cucu yang terbabit dalam politik, beliau akan cuba sebaiknya untuk meneruskan legasi visi datuknya kerana beliau percaya bahawa sentiasa ada ruang untuk penambahbaikan dalam membina Malaysia menjadi negara yang lebih baik.

“Dari awal pembentukan Malaysia, petikan datuk saya yang terkenal adalah ‘Anang Sarawak tok baka tebu, manis di pun tang tabar ba ujung' yang bermaksud jangan biarkan Sarawak atau Malaysia seperti tebu, manis pada awalnya tetapi kurang enak ketika ia membesar. Saya tidak mahu Malaysia menjadi seperti itu. 

“Jadi bagi mengelakkan perkara ini berlaku, semua pihak terutama generasi muda seharusnya diterapkan tentang asas dan semangat pembentukan Malaysia kerana kita adalah negara yang berbilang kaum, bangsa serta agama, dan itu tidak seharusnya menjadi punca perkara buruk berlaku pada negara,” katanya. - BERNAMA 

Advertisement