Kecuaian seorang lelaki langgar lampu isyarat mengakibatkan kemalangan empat kenderaan di Kota Sentosa hari ini
“Setelah berlanggar dengan motosikal tersebut, pemandu kereta kompak itu hilang kawalan lalu melanggar sebuah kenderaan pikap di bahagian hadapan.”
Superintenden Abang Zainal Abidin Abang Ahmad
Ketua Polis Daerah Padawan
Oleh Hafizah Abdul Hamid
KUCHING: Kecuaian seorang lelaki yang melanggar lampu isyarat bertukar merah mengakibatkan kemalangan melibatkan empat buah kenderaan di persimpangan lampu isyarat Jalan Liu Shan Bang di Kota Sentosa, di sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Padawan Superintenden Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata kemalangan berlaku kira-kira jam 7.55 pagi itu berpunca daripada sebuah kereta kompak yang bergerak lurus dari arah Jalan Penrissen telah melanggar lampu isyarat bertukar merah lalu melanggar sebuah motosikal di bahagian kiri hadapan.
Tambahnya, motosikal berkenaan bergerak lurus dari arah Jalan Stakan menuju pekan Kota Sentosa ketika lampu isyarat telah bertukar warna hijau.
“Setelah berlanggar dengan motosikal tersebut, pemandu kereta kompak itu hilang kawalan lalu melanggar sebuah kenderaan pikap di bahagian hadapan.
“Akibat perlanggaran tersebut, kenderaan pikap itu seterusnya telah terseret ke kiri dan ke belakang menyebabkan ia melanggar sisi belakang sebuah kereta subkompak lain,” ujarnya menerusi kenyataan hari ini.
Jelas beliau juga, pemandu kereta kompak yang berusia 33 tahun itu tidak memiliki lesen memandu dan mengalami sakit di bahagian dada.
Sementara itu, penunggang motosikal yang berusia 21 tahun tersebut katanya, dilaporkan mengalami kecederaan di bahagian kaki kiri.
“Kedua-dua lelaki berkenaan dibawa ke Hospital Umum Sarawak untuk rawatan selanjutnya.
“Manakala pemandu kenderaan pikap dan pemandu kereta subkompak tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya.
Tambah beliau, siasatan lanjut polis masih dijalankan di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.