Anda di sini

Kerjasama antara kerajaan rapatkan jurang bekalan, pelbagaikan rantaian bekalan halal

Advertisement
 

MELBOURNE: Pusingan Persidangan Perniagaan Halal Dunia (WHBCC) 2022 yang melabuhkan tirai pertamanya di Australia menumpukan usaha mempertingkat segmen bahan ramuan halal Malaysia untuk melindungi industri terbabit daripada gangguan rantaian bekalan akibat ketidaktentuan global, menurut Perbadanan Pembangunan Halal (HDC).

Ketua Pegawai Eksekutif, Hairol Ariffein Sahari berkata kesemua ramuan yang digunakan oleh pembuat produk halal Malaysia perlu disahkan oleh badan pensijilan halal yang diiktiraf sekali gus membolehkan rantaian bekalan halal itu mempunyai potensi untuk berkembang secara meluas.

“Malaysia perlu mempelbagaikan pasaran halal termasuk saranan rantaian bekalan. Buktinya, ketika kemuncak pandemik COVID-19 dua tahun lepas, kita mengalami isu sekuriti makanan global apabila ada negara yang mengamalkan dasar perlindungan dan enggan mengeksport.

“Pada masa sama, kita pula ialah pengimport bersih makanan (termasuk makanan halal), ramuan halal dan produk bukan makanan. Ini hanya membuktikan lagi keperluan untuk mempelbagaikan rantaian bekalan kita,” katanya kepada Bernama di sini pada akhir acara dua hari WHBCC edisi Australia.

Permintaan, Tawaran Halal Global

Pasaran makanan halal sedang berkembang di seluruh dunia dan bukan lagi domain bagi umat Islam memandangkan ia memiliki daya tarikan bagi kalangan bukan Islam kerana mereka mencari bekalan makanan yang mampan dan baik.

Trend perbelanjaan untuk makanan halal telah meningkat 6.9 peratus kepada US$1.27 trilion pada 2021, daripada US$1.19 trilion pada 2020, dan dijangka berkembang sebanyak 7.0 peratus pada 2022 untuk mencecah US$1.67 trilion pada 2025.

Pasaran Muslim global boleh berkembang kepada US$5 trilion pada 2030 jika trend itu berterusan.

Hairol Ariffein berkata justeru, Malaysia perlu memanfaatkan peluang daripada pasaran halal yang berkembang pesat, dan sebagai antara penggiat industri halal, Malaysia akan berkembang ke dalam pasaran yang belum diterokai seperti Mongolia.

“Enam minggu lepas, saya berada di Mongolia. Negara itu mempunyai 70 juta haiwan ternakan dan boleh membiak kepada 24 juta setiap tahun, namun populasi manusia di negara ini hanya tiga juta.

“Mereka boleh menjadi pengeksport bersih daging dan produk daging, tetapi di Mongolia, mereka tidak mempunyai rantaian bekalan halal dengan Malaysia. Jadi, kita sebagai sebuah negara yang berpengalaman dalam rantaian bekalan dan perdagangan halal perlu bekerjasama dengan mereka untuk memanfaatkan kelebihan masing-masing,” katanya.

Beliau berkata saiz pasaran industri halal global kini bernilai US$3.1 trilion namun industri ini hanya mampu memenuhi 20 peratus daripada permintaan.

“Terdapat jurang yang luas di antara permintaan dengan bekalan. Kita bersedia untuk bersaing jika bahagian pasaran yang tinggal hanya 10 hingga 15 peratus, tetapi kini jurang pasaran adalah 80 peratus. Jadi, kita tidak perlu bersaing, kita seharusnya bekerjasama untuk memenuhi jurang ini.

“Inilah inti pati WHBCC 2022. Semuanya mengenai langkah untuk mengantarabangsakan agenda halal kita dan mencipta nilai bersama (dengan Australia) serta berusaha memanfaatkan sebanyak mungkin peluang perdagangan dan pelaburan menerusi cara mengembangkan pasaran halal,” katanya.

UK jadi destinasi WHBCC pada 2023

WHBCC membuat pusingan kali pertama di luar Malaysia -- di Australia pada 1 dan 2 Sept melalui perkongsian di antara HDC dengan Suruhanjaya Perdagangan dan Pelaburan Australia (Austrade).

“Kami berusaha untuk mempromosikan pengetahuan dan nilai halal melalui persidangan itu,” katanya.

Setakat ini, Australia mempunyai 25 badan pensijilan halal namun hanya tujuh badan pensijilan yang diiktiraf Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Persidangan tahun ini menutup tirainya dengan kesimpulan yang penting antaranya penyediaan tawaran kerja Majlis Penyelarasan Islam Victoria (ICCV) untuk 200 bakat mahir dan profesional halal di bawah Program Perantis Halal HDC untuk dibentuk dan dieksport ke Australia dengan kerjasama Pusat Pembangunan Kemahiran Perindustrian dan Keusahawanan Melaka (Misdec).

Kedua, perkongsian yang berpotensi di antara Platform Bersepadu Halal (HIP), Jakim, kerajaan Sabah, ICCV serta Jabatan Pertanian, Perikanan dan Perhutanan (DAFF) Australia akan menambah nilai kerangka tadbir urus halal Malaysia-Australia serta menangani isu pensijilan halal dan tanggapan salah.

HDC juga mengumumkan bahawa Selangor menerusi agensinya, Halal International Selangor (HIS) akan mewujudkan kerjasama strategik dengan kerajaan Victoria untuk peluang pelaburan di Zon Ekonomi Halal Selangor bagi perancangan pembangunan semasa dan masa depan bernilai RM10 bilion.

Sementara itu, forum industri halal anjuran HDC itu akan diperluas ke United Kingdom tahun depan selepas kejayaan WHBC edisi Australia. - BERNAMA

Advertisement