Anda di sini

195 mangsa sindiket penipuan kerja masih berada di luar negara

Advertisement
 

KUANTAN: Seramai 195 warga Malaysia yang dipercayai menjadi mangsa sindiket penipuan tawaran pekerjaan dilaporkan masih berada di luar negara setakat Jumaat lepas (2 Sept), kata Menteri Luar Datuk Seri Saifuddin Abdullah. 

Daripada jumlah itu, mangsa paling ramai dilaporkan di Kemboja iaitu 148 orang diikuti Thailand (23 orang), Laos (22 orang) dan Myanmar (dua orang), dengan tindakan susulan termasuk usaha membawa balik sedang dilakukan. 

Saifuddin berkata seramai 65 rakyat Malaysia di Kemboja, masing-masing 10 di Thailand dan Laos serta dua di Myanmar telah berjaya diselamatkan. 

"Kementerian Luar ingin menasihatkan individu atau waris yang menjadi mangsa sindiket penipuan tawaran kerja di luar negara untuk tampil membuat laporan polis bagi tindakan seterusnya. Semua laporan atau dokumen yang diterima akan disalurkan terus kepada Perwakilan Malaysia di negara terlibat. 

"Tindakan susulan akan dilakukan dengan kerjasama pihak berkuasa negara terlibat, tertakluk kepada prosedur dan undang-undang negara terbabit melibatkan urusan siasatan, intipan, usaha menyelamat, dokumentasi dan sebagainya yang mungkin mengambil masa," katanya pada sidang media di sini hari ini. 

Menurut Saifuddin, pihak berkuasa tempatan negara terlibat, juga sentiasa memberikan kerjasama dan bantuan untuk mengesan mana-mana rakyat Malaysia yang dimaklumkan berada di negara mereka. 

Beliau juga menasihatkan rakyat Malaysia untuk tidak mudah terpedaya dan sentiasa berwaspada dengan tawaran bekerja di luar negara, serta membuat semakan kesahihan tawaran itu dengan Pejabat Malawakil di negara terlibat atau di Wisma Putra. 

Selain itu, mereka juga dinasihatkan supaya memastikan visa yang betul iaitu visa pekerjaan sebelum memulakan perjalanan, memastikan surat tawaran dan kontrak pekerjaan difahami dan dimeterai secara bertulis serta perjalanan ke negara terlibat menggunakan laluan sah. 

"Mereka yang sering menjadi mangsa penipuan terdiri mereka yang berusia akhir belasan tahun dan awal 20-an yang tertarik dengan tawaran seperti gaji lumayan melebihi US$2,000, elaun tinggi dan dijanjikan pelbagai kemudahan lain termasuk percutian berbayar dan sebagainya," katanya. 

Saifuddin berkata individu atau waris yang menjadi mangsa boleh menghubungi Unit Bantuan Konsular Rakyat Malaysia di Luar Negara di e-mel [email protected] selain semua warganegara di luar negara dinasihatkan berdaftar dengan Perwakilan Malaysia berdekatan atau di https://ekonsular.kln.gov.my/login. - BERNAMA 

Advertisement