Anda di sini

Pembangunan Usahawan strategi baharu dalam fokus terhadap usahawan belia

Advertisement
Hasbi (dua kiri) menyerahkan hadiah berupa telefon pintar kepada salah seorang peserta pada program YES di Limbang, hari ini. Turut kelihatan, Ripin (kiri) dan Nancy (kanan).
Hasbi (dua kiri) menyerahkan hadiah berupa telefon pintar kepada salah seorang peserta pada program YES di Limbang, hari ini. Turut kelihatan, Ripin (kiri) dan Nancy (kanan).

LIMBANG: Kerajaan melaksanakan strategi berpandangan jauh dalam usaha membangunkan belia dan keusahawanan menerusi Kementerian Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak.

Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Hasbi Habibollah berkata, ‘Pembangunan Usahawan’ merupakan cabang baharu kementerian tersebut yang memfokuskan kepada usahawan belia berusia 15 hingga 40 tahun di negeri ini.

"Dengan wujudnya portfolio baharu untuk Pembangunan Usahawan, saya percaya kementerian akan merangka dan mempergiat program pembangunan usahawan bagi melonjakkan keupayaan serta kemahiran usahawan dalam kalangan belia.

"Saya yakin kementerian akan terus komited dalam menyediakan lebih banyak program keusahawanan sebagai platform kepada para usahawan belia sama ada dalam kalangan belia informal mahupun usahawan belia mikro," ujarnya ketika merasmikan Program Youth Entrepreneur Setup (YES) di sini, hari ini.

Turut hadir ialah Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak Dr Ripin Lamat, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Danau Paulus Palu Gumbang, Setiausaha Tetap Kementerian Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak Nancy Jolhi, Timbalan Residen Bahagian Limbang Jamalie Busrie dan Pegawai Daerah Limbang Superi Awang Said.

Ahli Parlimen Limbang itu berkata lagi, keusahawanan merupakan komponen penting dan strategik dalam memacu Sarawak mencapai status negeri maju menjelang 2030. 

"Menyedari keperluan untuk penglibatan aktif belia Sarawak dalam bidang keusahawanan, kerajaan telah melaksanakan strategi berpandangan jauh dalam usaha pembangunan belia dan keusahawanan," katanya.

Jelasnya, dalam era ekonomi digital adalah penting untuk usahawan belia menyesuaikan diri dengan landskap bidang perniagaan terkini terutamanya perniagaan secara dalam talian atau e-dagang. 

"Saya yakin pihak kementerian akan berusaha menyediakan pelbagai program dan platform bagi usahawan belia di bawah 40 tahun yang mana bilangan belia di Limbang adalah seramai 23,900 daripada 1.2 juta belia Sarawak yang meliputi 52 peratus penduduk Sarawak, berdasarkan Statistik Penduduk Belia Sarawak berumur 15 hingga 40 tahun pada tahun 2020," jelasnya.

Beliau juga berharap belia yang hadir dapat mengambil pengalaman daripada program tersebut untuk menjadi usahawan yang cemerlang dan berdaya saing pada masa hadapan.

Katanya lagi, belia Sarawak harus menanam mentaliti daripada pencari pekerjaan kepada pemilik atau pengusaha perniagaan serta menyahut seruan kerajaan negeri untuk merebut peluang dalam ekonomi digital.

"Saya menyeru agar belia Sarawak khasnya di Limbang ini untuk mengambil kesempatan ini untuk melibatkan diri dalam ekonomi digital dengan mengaplikasikan kemudahan digital dan akses meluas media sosial," ujarnya.
 

  • oleh
  • Advertisement