Anda di sini

Kavin Jay gabung kisah hidup dengan lawak menerusi komediri 'I Am Sorry I Shouted' 

Advertisement
Kavin (kanan) bergambar bersama Lance selepas selesai komediri 'I Am Sorry I Shouted' di La Promenade Mall, malam Jumaat.
Kavin (kanan) bergambar bersama Lance selepas selesai komediri 'I Am Sorry I Shouted' di La Promenade Mall, malam Jumaat.

KUCHING: Pelawak komediri Malaysia Kavin Jay berkongsi pengalaman dan kisah hidup berunsurkan lawak dengan penonton pada acara 'I Am Sorry I Shouted' di La Promenade Mall, malam Jumaat.

Ramai dalam kalangan penonton ternyata terhibur dengan rata-ratanya peminat beliau yang juga merupakan penyampai radio di Fly FM di ibu kota.

Beliau turut menyelitkan pesanan kepada para penonton terutama kaum Adam untuk bersifat terbuka dan meluahkan masalah mereka kepada keluarga dan sahabat handai demi kesihatan mental yang baik.

Kavin Jay atau Kavin Jayaram dilahirkan di Kuala Lumpur dan menamatkan pengajian di Methodist Boys' School Kuala Lumpur pada 1997.

Beliau kemudiannya melanjutkan pelajaran di South Tyneside College, Newcastle dan menamatkan pengajian pada tahun 2001.

Selepas itu, beliau menjadi jurutera marin, tetapi mendiang  abangnya sentiasa mahukan beliau menjadi seorang pelawak, lantas menjadikan ia sebagai inspirasi yang membuatkan beliau serius dengan komediri selepas kematian abangnya itu pada Mei 2006.

Pengaruh Kavin untuk komedinya ialah Robin Williams, Chris Rock dan Eddie Izzard.

Acara 'I Am Sorry I Shouted' juga merupakan jelajah pertama beliau sejak pandemik COVID-19.

Majlis turut diserikan oleh hos Lancelot Theseira yang didatangkan khas bagi komediri tersebut.

Sebelum ini, La Promenade Mall juga pernah menganjurkan pertunjukan komediri pertama di Sarawak pada 2019 dengan menampilkan Mad Sabah dalam rangka jelajah 'Ndak Logik‐National Tour' di Kuching.

"Kami sangat teruja untuk menganjurkan lawatan Kavin Jay dan Mad Sabah di La Promenade Mall.

"Komediri adalah bentuk seni yang menakjubkan dan semakin popular, terutamanya selepas Netflix," kata Pengurus Pemasaran Digital Hock Seng Lee (HSL) Sophia Ong.

Hock Seng Lee dan La Promenade akan terus bekerjasama dengan pelawak tempatan dan antarabangsa bagi lebih banyak pertunjukan pada masa akan datang, tambahnya.

Komediri 'I Am Sorry I Shouted' itu telah menarik kira-kira 140 hadirin, manakala rancangan 'Ndal Logik' Mad Sabah menarik kira-kira 120 penonton sebelum ini.

Penyewa di La Promenade Mall termasuk ZORO oleh Domus Group, NOMS dan Black Bean Coffee & Tea menawarkan promosi prapertunjukan istimewa.

Sebagai sebuah pusat beli‐belah yang fokus kepada gaya hidup dan komuniti, La Promenade memberi banyak keutamaan kepada penganjuran acara.

Pada bulan ini, pusat beli-belah itu bakal menganjurkan tiga acara utama lain — Oktoberfest bermula 16 September, 'Weekend Night Runs' setiap Sabtu dan 'PayDay Weekend Bazaars.'

Oktoberfest akan menampilkan kumpulan terkenal Sarawak termasuk At Adau, On String, Muzaik dan banyak lagi. 

  • oleh
  • Advertisement