
KUCHING: Pertandingan Futsal Terbuka Stampin pertama anjuran Parti Tindakan Demokratik (DAP) mendapat sambutan yang sangat baik daripada golongan belia di kawasan Stampin, kata Chong Chieng Jen.
Pengerusi DAP Sarawak yang juga Ahli Parlimen Stampin itu berkata, beliau gembira mengetahui 32 pasukan mendaftar untuk menyertai pertandingan yang diadakan di Pusat Sukan Sentosa itu.
"Kami ingin menggalakkan lebih banyak aktiviti sebegini. Lagipun, ia adalah satu bentuk senaman yang sangat baik di mana ramai anak muda sangat menyukainya," katanya kepada pemberita selepas merasmikan pertandingan itu di sini, hari ini.
Beliau menambah, kepentingan sukan tidak boleh dipandang remeh, terutama ketika pandemik COVID-19.
"Imunisasi terbaik datang dengan badan yang sihat dan badan yang sihat datang dengan senaman. Itulah sebabnya kami menganjurkan pertandingan ini supaya semua anak muda boleh mengambil bahagian," katanya.
Menurut Chong lagi, pertandingan itu menawarkan hadiah menarik kepada pemenang.
"Saya gembira ini kali pertama kami menganjurkan pertandingan ini dan berharap kami dapat meneruskannya untuk tahun-tahun akan datang supaya lebih ramai anak muda boleh mengambil bahagian dan bakat dapat dicungkil," katanya.
Hadiah untuk dimenangi termasuk trofi untuk empat pasukan terbaik termasuk Piala YB Chong Chieng Jen untuk juara.
Chong turut melakukan sepak mula sebagai simbolik permulaan sebelum perlawanan pertama yang mempertemukan pasukan DAPSY menentang Kasma KTT.