Anda di sini

Belia Sarawak digalak ceburi bidang keusahawanan melalui program YES

Advertisement
Ripin ketika berucap pada program YES di Limbang, hari ini.
Ripin ketika berucap pada program YES di Limbang, hari ini.

LIMBANG: Belia berusia 15 hingga 40 tahun di Sarawak terus digalak mengambil peluang untuk mencebur diri dalam bidang keusahawanan melalui Program Youth Entrepreneur Setup (YES) di bawah inisiatif Kementerian Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak.

Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak Dr Ripin Lamat berkata, kementerian telah melancarkan Calendar of Programmes (COP) bagi tahun 2022 dengan moto ‘Tiada Minggu Tanpa Program’, di mana 120 program telah dirancang untuk seluruh daerah dan bahagian Sarawak.

“Program YES  ini merupakan inisiatif Kementerian Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak untuk menggalakkan penglibatan lebih ramai belia di negeri ini agar mengambil peluang untuk menceburkan diri dalam bidang keusahawanan, seterusnya memperkasa ekonomi di Sarawak yang kini menuju ke arah pendigitalan,” katanya pada program YES di sini, hari ini.

Turut hadir ialah Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Hasbi Habibollah, Ahli Dewan Undangan Negeri Batu Danau Paulus Palu Gumbang, Setiausaha Tetap Kementerian Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak Nancy Jolhi, Timbalan Residen Bahagian Limbang Jamalie Busrie dan Pegawai Daerah Limbang Superi Awang Said.

Ripin turut menyeru para belia terutamanya di Limbang agar terus mendedahkan diri dengan landskap serta cabaran dunia perniagaan yang sebenar supaya dapat membentuk daya tahan dan jati diri dalam mengendalikan perniagaan sendiri suatu hari nanti.

Pelbagai aktiviti diadakan termasuk ceramah daripada Pejabat Daerah Limbang, Majlis Daerah Limbang dan Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC), serta sesi Town Hall Bersama Usahawan Belia untuk  mendengar aspirasi dan isu-isu berkaitan dengan usahawan belia. 
 

  • oleh
  • Advertisement