Anda di sini

Pengawal keselamatan didenda kerana cederakan jiran, rosakkan pagar rumah

Advertisement
 

KUCHING: Seorang pengawal keselamatan dijatuhi hukuman denda RM2,000 atau lapan bulan penjara di Mahkamah Majistret di sini, hari ini akibat mencederakan jiran dan melakukan khianat dengan merosakkan pagar rumah mangsa, Julai lalu.

Tertuduh, Atep Sekan, 46, mengaku bersalah sebaik dua pertuduhan di bawah Seksyen berasingan dibacakan terhadapnya.

Majistret Zaiton Anuar menetapkan tertuduh untuk dijatuhi hukuman denda RM1,000 atau empat bulan penjara sekiranya gagal membayar bagi setiap pertuduhan dihadapinya.

Mengikut pertuduhan pertama di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan, lelaki itu didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap mangsa lelaki berusia 33 tahun.

Sabit kesalahan, boleh dijatuhi hukuman penjara sehingga setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali.

Sementara itu bagi pertuduhan kedua di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan, tertuduh didakwa melakukan khianat dan menyebabkan kerosakan terhadap pagar rumah milik mangsa sama, sehingga mangsa mengalami kerugian RM100. 

Seksyen berkenaan memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang setahun dan tidak melebihi lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Kedua-dua kesalahan tersebut didakwa dilakukannya di Kampung Garung di sini, pada 31 Julai lalu, sekitar jam 4.45 petang.

Mengikut keterangan kes, tertuduh pada hari kejadian bertindak menendang pagar rumah mangsa dan masuk ke dalam rumah mangsa melalui pintu belakang.

Tertuduh seterusnya menumbuk badan mangsa di bahagian dada sebelah kanan dan penduduk kampung cuba meleraikan pergaduhan mereka. 

Punca kejadian adalah kerana salah faham dan tertuduh tidak berpuas hati apabila mangsa membina dinding pagar di sempadan rumah mereka. 

Mangsa menyatakan bahawa dia telah berbincang dengan tertuduh sebelum pengubaisuaian dibuat.

Bagaimanapun, setelah ia siap dibina, tertuduh tidak berpuas hati akan ketinggian dinding itu.
 
Justeru, mangsa bertindak membuat laporan polis dan tertuduh ditangkap pada 18 Ogos lalu, sekitar jam 5.15 petang. 

Tertuduh diwakili peguam dan pendakwaan dilakukan oleh Pegawai Pendakwa, Inspektor Merylene Lindan Andrew Mang.
 

  • oleh
  • Advertisement