Anda di sini

2.57 juta ekar tanah sudah disukat setakat 31 Julai: Awang Tengah

Advertisement
Awang Tengah menyerahkan surat hakmilik kepada seorang penerima pada di Dewan Tayung Langui, Kampung Pichin di Serian, hari ini.
Awang Tengah menyerahkan surat hakmilik kepada seorang penerima pada di Dewan Tayung Langui, Kampung Pichin di Serian, hari ini.

KUCHING: Dianggarkan lebih kurang 2.57 juta ekar tanah sudah disukat perimeter di bawah program Pengukuran Tanah NCR Inisiatif Baharu di Sarawak setakat 31 Julai 2022.

Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, daripada jumlah itu, seluas 800,176 hektar atau 1.97 juta ekar telahpun diwartakan.

"Kerajaan telah memperkenalkan Program Pengukuran Tanah NCR Inisiatif Baharu pada tahun 2010 dan program ini dilaksanakan secara dua peringkat. 

"Peringkat pertama, pengukuran perimeter dan pewartaan di bawah Seksyen 6 Kanun Tanah Negeri sebagai Rizab Komunal Bumiputera (Pertanian).

"Pada peringkat kedua pula, pengukuran secara lot individu dan pengeluaran surat hakmilik tanah di bawah Seksyen 18 Kanun Tanah Negeri akan dilaksanakan," ujarnya.

Beliau berkata demikian berucap pada Majlis Penyerahan Warta Rizab Komunal Bumiputera di bawah Seksyen 6 Kanun Tanah Negeri (KTN), Surat Hakmilik Seksyen 18 KTN dan Lesen Pendudukan Sementara (TOL) Bahagian Serian di Dewan Tayung Langui, Kampung Pichin di Serian, hari ini.

Pada hari ini katanya, empat kawasan di Serian iaitu Kampung Murud Plaman, Kampung Sumpas, Kampung Reban dan Lubok Ria serta Kampung Paon Rimu turut menerima Warta Rizab Komunal Bumiputera di bawah Seksyen 6 KTN.

Beliau yang juga Menteri Sumber Asli dan Pembangunan Bandar II berkata, setakat 31 Julai 2022 sebanyak 55,160 lot individu telah berjaya diukur melibatkan kawasan seluas 68,998 hektar (170,498 ekar) bagi pengeluaran surat hakmilik tanah di bawah Seksyen 18 KTN.

Tambahnya, ia termasuk 889 surat hakmilik tanah di bawah Seksyen 18 KTN yang disampaikan kepada 699 penerima hari ini bagi kawasan Kampung Pichin, Serian; Kampung Engkeroh, Serian; Kampung Petag, Padawan; Kampung Beradau, Siburan dan Kampung Tubih, Serian.

"Pengeluaran Surat Hakmilik Tanah Seksyen 18 KTN ini memberi banyak manfaat kepada pemilik tanah, antaranya tempoh pegangannya kekal (selama-lama/perpetuity) selagi ada bulan dan bintang. 

"Ini bermakna pemilik tanah mempunyai hak milik kekal ke atas tanah tersebut, tidak dikenakan cukai tanah tahunan, kos pengukuran tanah dan penyediaan surat hakmilik tanah, malah turut dikecualikan premium tanah," jelasnya.

Bagi penyukatan lot individu dan pengeluaran suart hakmilik tanah di bawah Seksyen 18 KTN, Awang Tengah berkata, ia sedang giat dijalankan. 

Selain program Pengukuran Tanah NCR Inisiatif Baharu, kerajaan turut melaksanakan Program Pengukuran Kampung Tradisional, katanya.

Beliau memberitahu, setakat ini, sebanyak 56,849 lot kediaman daripada 386 kampung di seluruh Sarawak telahpun disukat. 

"Daripada jumlah itu, sebanyak 53,526 lot telahpun dikeluarkan surat hakmilik dan hari ini, saya akan menyerahkan sebanyak 320 surat hakmilik tanah kepada 291 penerima bagi Kampung Murud Plaman, Serian; Kampung Menjau, Siburan dan Kampung Kuang, Siburan.

"Di samping itu, pada hari ini surat hakmilik tanah Seksyen 18 KTN menerusi Program Operasi Penyelesaian turut diserah yang melibatkan sebanyak 183 surat hakmilik tanah kepada 145 penerima dari Kawasan Penyelesaian Batu Gong, Siburan dan Merang, Serian," katanya.
 

  • oleh
  • Advertisement