
PUTRAJAYA: Harga siling minyak sawit botol lima kilogram diturunkan kepada RM33.50 daripada RM34.70 bermula 8 Sept hingga 7 Okt, kata Pengerusi Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi Tan Sri Annuar Musa.
Beliau berkata harga minyak masak botol tiga kilogram pula diturunkan kepada RM21.10 daripada RM21.70, botol dua kilogram daripada RM14.70 kepada RM14.30, manakala botol satu kilogram daripada RM7.70 kepada RM7.50.
"Penurunan ini berasaskan kepada harga minyak sawit mentah (CPO) pada Ogos iaitu RM4,169 per tan metrik.
"Harap tidak timbul kekeliruan walaupun harga minyak sawit naik sedikit berbanding Julai iaitu pada RM4,060 per tan metrik kerana mengambil kira RM2 yang diserap yang diberikan sebelum ini," katanya dalam sidang media selepas mesyuarat Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi di sini hari ini.
Turut hadir anggota pasukan yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh. - BERNAMA