Anda di sini

Ismail Sabri yakin unjuran pertumbuhan ekonomi Malaysia pada 2022 dicapai

Advertisement
PUTRAJAYA: Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yakin unjuran pertumbuhan ekonomi negara antara 5.3 peratus dan 6.3 peratus bagi tahun ini mampu dicapai. 

Berucap pada Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam Ke-18 (MAPPA XVIII) di sini hari ini, beliau berkata momentum pemulihan ekonomi negara pasca COVID-19 dijangka berterusan sehingga penghujung tahun ini.

“Kematangan Keluarga Malaysia dan keberkesanan jentera pentadbiran kerajaan melalui pendekatan collaborative mindset, kita dapat memberi fokus untuk memacu semula pemulihan ekonomi negara dengan pantas dan berkesan.

“Keputusan kerajaan untuk membuka semula sektor ekonomi secara keseluruhan dan pembukaan sempadan antarabangsa antara tindakan yang paling tepat untuk melonjakkan kembali kitaran ekonomi,” kata beliau.

Ismail Sabri menyampaikan amanat pada majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam Ke-18 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya, hari ini. Gambar BERNAMA
Ismail Sabri menyampaikan amanat pada majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam Ke-18 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya, hari ini. Gambar BERNAMA

Hasilnya hari ini, Ismail Sabri berkata ekonomi Malaysia mencatatkan prestasi memberangsangkan apabila Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi suku kedua 2022 mencatatkan pertumbuhan sebanyak 8.9 peratus, merupakan yang terbaik di Asia Tenggara.

Malaysia turut mencatatkan pertumbuhan perdagangan borong dan runcit yang kukuh tahun ke tahun sebanyak 44 peratus kepada RM132.8 bilion pada Jun tahun ini. 

“Untuk separuh masa pertama 2022, pelaburan langsung asing (FDI) merekodkan aliran masuk bersih sebanyak RM41.7 bilion berbanding sebelum pandemik, iaitu RM23.3 bilion pada tempoh yang sama tahun 2019,” kata beliau. - BERNAMA

Advertisement