KUCHING: Forum Perniagaan Muslim Global 2022 yang akan diadakan pada 19 hingga 20 Okt di sini, bertujuan mempromosikan dialog dan wacana ekonomi Islam global, kata Timbalan Premier Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.
Beliau berkata forum anjuran bersama kerajaan negeri Sarawak dan KSI Strategic Institute for Asia Pacific akan diadakan di Pusat Konvensyen Borneo Kuching, di sini.
“Acara utama forum itu termasuk pelancaran Majlis Pemimpin Perniagaan Muslim Global, yang bertujuan mempromosi dan mengukuhkan ekonomi melalui kerjasama dengan kerajaan bagi membuka peluang pelaburan serta mempromosikan ekonomi halal.
“Majlis anugerah untuk kecemerlangan perniagaan dan pencapaian seumur hidup akan diadakan sebagai pengiktirafan terhadap sumbangan pemimpin perniagaan kepada kemakmuran masyarakat global,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.
Forum dengan bertemakan The Rise of the Global Islamic Economy: Recovering in the Post-Pandemic Era dijangka dapat mewujudkan kerjasama serta perkongsian lebih kukuh dalam kalangan masyarakat Islam dan lebih luas bagi memfokuskan semula peranan mereka dalam menerima pakai pembangunan mampan dan amalan hijau.
Awang Tengah berkata forum itu juga akan mengetengahkan peluang-peluang perniagaan dan pelaburan di Sarawak, khususnya dalam tenaga boleh baharu, ekonomi baharu seperti hidrogen serta sektor minyak dan gas.
“Perusahaan kecil dan sederhana domestik digalakkan untuk menyertai forum yang akan menyediakan platform untuk berhubung dengan potensi pasaran halal di seluruh dunia,” katanya.
Forum berkenaan dijangka menarik lebih 1,300 peserta. - BERNAMA