Anda di sini

Afgan jadi tarikan utama Kuching Jazz 2022

Advertisement
Abdul Karim bersama (dari kiri) Lim, Ferguson, Raden, Abdul Aziz, Hii, Nisa dan Gracie menunjukkan tanda bagus semasa mempromosikan kain rentang Kuching Jazz 2022 yang menunjukkan Afgan sebagai antara artis utama untuk festival antarabangsa itu.
Abdul Karim bersama (dari kiri) Lim, Ferguson, Raden, Abdul Aziz, Hii, Nisa dan Gracie menunjukkan tanda bagus semasa mempromosikan kain rentang Kuching Jazz 2022 yang menunjukkan Afgan sebagai antara artis utama untuk festival antarabangsa itu.

KUCHING: Penyanyi popular Indonesia Afgan akan menjadi tarikan utama festival Kuching Jazz 2022 yang bakal diadakan di Hotel Grand Margherita di sini, pada 28 dan 29 Oktober depan.

Artis yang telah merangkul pelbagai anugerah itu akan membuat persembahan di festival muzik antarabangsa itu dengan membuat kemunculan semula selepas dua tahun sepi akibat pandemik COVID-19.

Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, artis Indonesia sentiasa menjadi perhatian ramai pada festival sebelum ini dengan peminat menikmati muzik daripada Tulus, Tompi, Kunto Aji dan banyak lagi.

“Saya gembira untuk mengumumkan Afgan sebagai salah satu daripada tarikan utama bagi festival tahun ini. 

“Dia mempunyai peminat yang agak ramai di Malaysia terutama di Sarawak dan namanya telah dimohon oleh peminat festival itu selama bertahun-tahun.

“Selepas tiga kejayaan festival ini sejak 2017, kita akhirnya dapat memenuhi permintaan peminat dan membawa masuk Afgan untuk membuat persembahan di Kuching Jazz edisi keempat,” katanya pada sidang media di Tribes Jazz & Reggae Lounge di sini, semalam.

Selain Afgan katanya, Kuching Jazz yang merupakan acara yang termasuk dalam kalendar acara What About Kuching juga akan menampilkan artis dan kumpulan dari Singapura, Australia, Thailand, Indonesia dan Malaysia.

Nama-nama artis terbabit bakal didedahkan dalam beberapa minggu akan datang.

“Kita juga berbesar hati mengalu-alukan Nisa Addina sebagai pengarah artistik festival itu. 

Dia adalah anak muda Sarawak, dilatih secara kaedah klasik dalam jazz di Kolej Muzik Berklee yang terkenal di Amerika Syarikat.

“Apa yang menarik ialah Nisa merupakan ‘alumni’ Kuching Jazz kerana dia sendiri pernah membuat persembahan di festival itu pada 2019.

"Kita sangat berharap untuk memanfaatkan bakat seni, latar belakang dan rangkaian pemuzik serta kelebihannya yang muda dan selaras dengan aliran muzik terkini sekali gus membantu menarik minat penonton yang lebih muda ke festival terbabit," kata beliau.

Abdul Karim berkata kira-kira 4,000 pengunjung festival dijangka menghadiri Kuching Jazz sepanjang dua malam itu.

"Saya sangat gembira melihat banyak acara seperti Kuching Jazz dianjurkan kerana ini mencerminkan bahawa kita sudah kembali normal seperti sebelum ini atau lebih baik daripada sebelumnya.

“Melalui acara ini, secara tidak langsung akan turut dapat menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negeri,” katanya.

Beliau menjangkakan bahawa Kuching Jazz akan terus menjadi popular seperti acara antarabangsa lain yang dianjurkan di sini.

“Kita mempunyai lebih 700,000 pengunjung yang datang ke negeri ini sejak Januari sehingga kini. Sehubungan itu, ia adalah masa yang sesuai untuk menganjurkan lebih banyak acara.

“Malah, boleh dikatakan apa sahaja yang kita anjurkan sekarang pasti ‘meletup’ sama ada Festival Muzik Hutan Hujan Sedunia (RWMF), Festival Jazz Borneo atau Festival Kebudayaan dan Makanan Kuching, yang merekodkan kehadiran lebih satu juta pengunjung.

“Jadi saya amat yakin Kuching Jazz 2022 kali ini juga akan ‘meletup’,” katanya.

Sementara itu, pelancaran Kuching Jazz 2022 juga bertepatan dengan pelancaran semula Tribes Jazz & Reggae Lounge di Grand Margherita Hotel.

Turut hadir Setiausaha Tetap Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Hii Chang Kee, Konsulat Jeneral Republik Indonesia di Kuching Raden Sigit Witjaksono, Pengerusi Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC) Tan Sri Datuk Amar Abdul Aziz Husain, Ketua Pegawai Eksekutif Hemisphere Corporation Sdn Bhd Mark Ferguson, Ketua Pegawai Operasi Dr Yuslan Yusoff, Penasihat Festival Jazz Kuching Gracie Geikie dan Pengurus Besar Hotel Riverside Majestic dan Hotel Grand Margherita Andrew Lim.

Kuching Jazz 2022 dianjurkan oleh Hemisphere Corporation Sdn Bhd, sebuah anak syarikat milik penuh SEDC dan disokong oleh Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan.

Promosi istimewa Kuching Jazz selama seminggu sahaja untuk pembelian pas dua hari dengan harga RM300 tersedia untuk pembelian mulai 31 Ogos hingga 6 September.

Mereka yang ingin menikmati kadar harga awal istimewa ini boleh berbuat demikian dengan memuat turun aplikasi Insiders Club percuma.

Tiket juga boleh dibeli di www.kuchingjazz.com sehingga 27 Oktober ini pada harga RM180 untuk pas sehari dan RM350 untuk pas dua hari manakala jualan pintu tiket pada hari pertama festival berharga RM200 untuk satu hari.

Untuk pertanyaan lanjut, sila hubungi 082-555189 atau e-mel [email protected]

Kemas kini mengenai festival itu juga boleh didapati di laman sosial Kuching Jazz di Facebook dan Instagram.

Advertisement