Anda di sini

Konsert 'One Night Only' Wings berlangsung meriah

Advertisement
Wings pada persembahan di Riverside Majestic malam tadi.
Wings pada persembahan di Riverside Majestic malam tadi.

KUCHING: Sarawak Chamber Ballroom, Hotel Riverside Majestic di sini digegarkan dengan konsert rock oleh lagenda rock Malaysia iaitu kumpulan Wings, di sini malam Sabtu.

Persembahan bertenaga yang dipamerkan oleh band tersebut membawa kepada sorakan yang meriah oleh penonton yang menghadiri konsert berkenaan.

Persembahan berkenaan menyaksikan pelbagai lagu dinyanyikan di mana persembahan pembukaan ialah Opera Hidup.

Seterusnya dengan nyanyian Romania, Jumpa Hilang,  Mabuk Lautan, Ingatkan Dia dan Hukum Karma.

Awie
Awie

Antara nyanyian lain ialah Bujang Senang, Taman Rasidah Utama, Sejati dan Harapan.

Vokalis Wings, Datuk Ahmad Azhar Othman atau lebih dikenali dengan panggilan Awie ketika ditemui selepas mengadakan persembahan berkongsi rahsia untuk kekal bertenaga dalam membuat persembahan.

"Kami (Wings) ini sentiasa praktis bagi mempamerkan persembahan yang sentiasa bertenaga.

"Ini kerana kalau tiada latihan ataupun praktis, ia seperti tidak cukup sifat seperti kita diperuntukkan kerja selama 30 hari namun kita hanya datang bekerja 7 hari sahaja.

"Sehubungan itu, kita sentiasa melakukan latihan siang dan malam dan sekiranya tiada latihan saya sendiri tidak berani (membuat persembahan)," jelasnya.

Menurutnya, walapun mendapat nasihat daripada doktor untuk berehat, namun Wings perlu meneruskan kerjaya dalam industri tanah air dan ia penting untuk perjuangan Wings.

"Buat masa ini, perjuangan Wings belum lagi selesai dan kita akan terus buat yang terbaik untuk negara Malaysia," ujarnya.

Beliau pada masa yang sama turut merakamkan ucapan penghargaan kepada pihak penganjur konsert One Night Only, Wings iaitu BMS Events.

Sementara itu, Awie berkata, buat julung kali Wings akan membuat persembahan dan berada dipentas antarabangsa untuk membuat persembahan di Formula 1 Grand Prix Singapura pada 30 September tahun ini.

"Buat julung kali, Wings ke pentas antarabangsa di F1 Grand Prix Singapura bersama artis jemputan iaitu Green Day, Marshmallow dan sebagainya.

"Wings merupakan salah satu kumpulan di Asia bakal berada di pentas terbabit dan ini merupakan hasil perjuangan kami sepanjang 37 tahun di mana Wings turut diiktiraf di Singapura.

"Apabila Wings berada di pentas berkenaan bermakna kumpulan ini bukan hak daerah, malah ia merupakan hak Malaysia dan ia adalah untuk kebanggaan kita (Malaysia)," katanya lagi.

Bagi trend mengadakan konsert dalam dewan, Awie menjelaskan ia merupakan salah satu kaedah yang turut mencapai kejayaan di mana ia disifatkan eksklusif.

"Ini kerana ramai pengikut Wings sejak sekian lama dan puluhan tahun di mana mereka turut mencapai umur yang kian meningkat serta mahukan eksklusif daripada berdiri bersama yang lain.

"Trend sekarang ini (konsert dalam dewan) sesuai dan kita turut mengadakan konsert untuk setiap lapisan masyarakat sama dapat berkumpul bersama di padang tahun hadapan," jelasnya lagi.
 

  • oleh
  • Advertisement