Anda di sini

PERKESO bantu penduduk luar bandar dapatkan pekerjaan

Advertisement
Sikie (tengah) menyampaikan sijil penghargaan kepada salah seorang wakil majikan yang mengambil bahagian dalam temu duga serta pengambilan terbuka di Rumah Ali Serdin di Sangan pada Jumaat.
Sikie (tengah) menyampaikan sijil penghargaan kepada salah seorang wakil majikan yang mengambil bahagian dalam temu duga serta pengambilan terbuka di Rumah Ali Serdin di Sangan pada Jumaat.

TATAU: Program temu duga pekerjaan anjuran Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) Bintulu memberikan manfaat besar kepada lepasan sekolah dan belia di kawasan pedalaman, kata Menteri di Jabatan Premier Sarawak Datuk John Sikie Tayai.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kakus berkata, program anjuran bersama PERKESO dan Pusat Khidmat ADUN Kakus di Rumah Ali Serdin di Sangan itu ternyata membantu penduduk luar bandar dan pedalaman mendapatkan pekerjaan yang sesuai dengan kelayakan masing-masing.

"Apa yang saya lihat, program ini mencapai sasarannya yang mana setakat ini, sebanyak empat individu lulus dalam temu duga mereka," ujarnya.

Beliau menjangkakan lebih ramai calon yang ditemu duga akan mendapat pekerjaan hasil daripada temu duga bergerak itu.

Sikie berkata demikian pada Majlis Perasmian Program Temu Duga Outreach anjuran PERKESO Bintulu yang diadakan bertempat di Rumah Ali Serdin di Sangan, pada Jumaat.

Sebanyak lima syarikat perindustrian turut serta dalam program pengambilan pekerja dan sesi temu duga, antaranya OM Materials Sarawak Sdn Bhd, PMB Silicon, Score EPCC Sdn Bhd dan Sushi King East Malaysia.

Pada masa sama katanya, program sebegini membolehkan penduduk Sangan khususnya pencarum PERKESO mengetahu faedah perlindungan serta manfaat lain daripada pertubuhan terbabit.

Sikie turut memaklumkan kerajaan telah meluluskan skim perlindungan keselamatan sosial pekerjaan sendiri.
"Setakat ini, skim perlindungan ini telah diperluaskan kepada 19 sektor termasuk golongan sasar yang bekerja sebagai petani," ujarnya.

Skim ini katanya, akan membolehkan individu bekerja sendiri mendapat faedah daripada caruman sekiranya berlaku kecederaan atau kemalangan.

Turut hadir Pegawai Daerah Tatau Jabang Juntan, Pegawai Tadbir Daerah Tatau Calvin Ligong, Pengarah PERKESO Negeri Sarawak Philip Sangkan dan Pengurus PERKESO Bahagian Bintulu Jimmy Hendrick Kijon.
 

  • oleh
  • Advertisement