Anda di sini

Rancangan wujudkan penerbangan butik masih diteliti

Advertisement

KUCHING: Kerajaan Sarawak masih meneliti perancangan untuk mewujudkan penerbangan butik yang menawarkan perkhidmatan penerbangan sewa khas.

Perkara tersebut didedahkan oleh Timbalan Menteri Pengangkutan Sarawak (Udara dan Jalan Raya) Datuk Dr Jerip Susil ketika ditanya pemberita selepas merasmikan Majlis Perlancaran Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS) Peringkat Daerah Siburan, hari ini.

"Saya tidak boleh memberi komen banyak mengenainya, tetapi perkara ini masih dalam perancangan. Kita perlu menyediakan platform terlebih dahulu dan jenis pesawat yang bersesuaian untuk digunakan ddalam perancangan itu.

"Kita juga belum mempunyai sistem penerbangan yang khusus, tetapi ia akan menggunakan platform sedia ada Hornbills Skyways.

"Terlalu banyak kekangan jika kita bergantung kepada syarikat penerbangan konvensional, jika mempunyai syarikat penerbangan lain yang boleh dipertimbang untuk melakukan destinasi kritikal," katanya sambil menambah operator pengendali juga belum ditentukan.

Dr Jerip (dua kanan) melawat salah satu ruangan pameran yang disediakan pada Majlis Pelancaran ANMS Peringkat Daerah Siburan, hari ini.
Dr Jerip (dua kanan) melawat salah satu ruangan pameran yang disediakan pada Majlis Pelancaran ANMS Peringkat Daerah Siburan, hari ini.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mambong berkata, pihaknya memilih untuk menggunakan pajakan pesawat daripada syarikat perkhidmatan penerbangan yang sudah sedia ada.

"Inilah model perancangan yang kita mahu dan masih dalam proses. Buat masa ini kita tidak dapat memberi garis masa," jelasnya.

Usaha tersebut ujarnya, bagi menambah kedatangan pelancong ke Sarawak dan menyokong pertumbuhan Nusantara selepas pemindahan ibu kota Indonesia ke Borneo.

Sebelum ini, Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, Sarawak merancang untuk menubuhkan sebuah syarikat penerbangan butik yang akan dikendalikan oleh Hornbill Skyways.

Beliau berkata, langkah itu akan membantu menjana pendapatan negeri melalui eksport hasil pertanian serta memenuhi permintaan perjalanan individu dan pelancongan.

Advertisement