Anda di sini

Dakwaan ditukar kepada bunuh tanpa niat, bekas pekerja kem balak terlepas tali gantung

Advertisement
Perayu bercakap dengan peguamnya selepas keluar dari kamar mahkamah.
Perayu bercakap dengan peguamnya selepas keluar dari kamar mahkamah.

KUCHING: Seorang bekas pekerja kem balak terselamat daripada tali gantung selepas dakwaan membunuh isteri pada 2014 ditukar kepada membunuh tanpa niat di Mahkamah Rayuan di sini, hari ini.

Panel tiga hakim terdiri daripada Hakim Datuk Azizah Nawawi, Datuk Vazeer Alam Mydin Meera dan Datuk See Mee Chun sebulat suara meminda pertuduhan perayu, Serberry Selih Kaya, 32, daripada Seksyen 302 Kanun Keseksaan kepada Seksyen 304 (b) Kanun Keseksaan.

Seksyen berkenaan memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan. 

Keputusan itu dibuat susulan mahkamah mendapati perayu tidak mempunyai niat membunuh mangsa. 

Ia sekali gus tidak menepati pertuduhan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana niat membunuh tidak dapat dibuktikan.

Sehubungan itu, mahkamah menetapkan perayu dijatuhi hukuman penjara sepuluh tahun dikuatkuasakan mulai tarikh tangkap perayu iaitu pada 4 Julai 2014. 

Perayu terdahulunya didapati bersalah membunuh Jara Jimbat, 52, di koridor flat mereka di Sibu Jaya antara jam 12.30 tengah hari dan 1.30 tengah hari pada 4 Julai 2014.
Seramai 15 saksi pendakwaan dipanggil untuk memberi keterangan terhadap tertuduh.

Menurut laporan terdahulu, perayu dilaporkan menyerah diri di Balai Polis Sibu Jaya sejurus selepas kejadian tersebut kerana cemburu.

Sebelum kejadian itu juga, perayu dilaporkan merampas telefon bimbit isterinya untuk memeriksa telefonnya dan tindakan itu menyebabkan mereka berdua bergelut.

Laporan terdahulu juga menyatakan mangsa rebah di koridor luar rumah mereka dan mengalami kecederaan serius di leher serta disahkan mati di tempat kejadian.

Pasangan itu telah berkahwin pada tahun 2012 dan mereka mempunyai seorang anak lelaki berusia tiga tahun pada ketika itu.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Fairuz Johari dan perayu diwakili peguam Simon Siah.
 

  • oleh
  • Advertisement