Anda di sini

Eksport industri perkayuan naik hampir 14 peratus 

Advertisement
 

KUALA LUMPUR: Nilai eksport industri perkayuan negara meningkat sebanyak 13.79 peratus kepada RM13.2 bilion bagi Januari hingga Jun 2022 berbanding RM11.59 bilion untuk tempoh sama pada tahun lepas.

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Zuraida Kamaruddin berkata industri itu turut mencapai nilai eksport sebanyak RM22.7 bilion pada tahun lepas dengan perabot kayu menjadi komponen terpenting dan menyumbang nilai eksport sebanyak RM10.4 bilion.

“Ia turut dieksport ke lebih 160 negara dengan pasaran utama perabot Malaysia adalah Amerika Syarikat, Jepun, Singapura, Australia dan United Kingdom,” katanya pada sidang media selepas menyaksikan pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) antara CTCS Worldwide Sdn Bhd (CWSB) dengan tujuh berkepentingan berkaitan di sini, hari ini.

Zuraida berkata walaupun prestasi eksport produk perkayuan dan perabot Malaysia membanggakan di pasaran dunia, sumbangan usahawan Bumiputera dalam nilai eksport perkayuan terbabit sebaliknya masih jauh ketinggalan yang dianggarkan kurang daripada satu peratus.

Sehubungan itu, Kementerian Perusahaan dan Perladangan dan Komoditi (KPPK) melalui agensinya Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB) serta anak syarikat MTIB iaitu CWSB telah menjalankan pelbagai program dalam memastikan agenda Bumiputera terus diperkasa melalui pelaksanaan program sepanjang tahun ini.

“Sejak penubuhannya pada 2019, CWSB diberi mandat untuk menyokong pembangunan usahawan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) Bumiputera mendapatkan peluang pasaran di peringkat swasta, syarikat berkaitan kerajaan atau kerajaan.

“CWSB kini diberi mandat lebih besar sebagai enam peneraju program pemerkasaan usahawan Bumiputera untuk memastikan daya saing tinggi usahawan itu,” katanya.

Menurutnya, CWSB menerima peruntukan RM25 juta daripada KPPK dan tambahan RM10 juta bagi memperkasa industri perkayuan.

Selain itu, beliau berkata kerajaan kekal komited untuk memastikan usaha pembangunan usahawan Bumiputera dapat diterjemahkan dalam pelan jangka panjang melalui kerjasama strategik dengan pihak agensi kerajaan Persekutuan, agensi kerajaan negeri, universiti awam serta pihak industri. 

Justeru, MoU CWSB dengan pihak berkaitan yang dimeterai hari ini menggambarkan tujuh komitmen semua pihak terbabit bagi pembangunan keseluruhan rantaian ekosistem perkayuan termasuk usahawan Bumiputera.

Zuraida berkata, sasaran petunjuk prestasi utama (KPI) tujuh MoU itu adalah untuk meraih nilai kontrak berjumlah RM50 juta bagi pasaran tempatan serta antarabangsa.

Tujuh MoU CWSB bersama MTIB itu yang bertujuan menggalakkan pembangunan industri perkayuan di Malaysia melibatkan CWSB bersama Universiti Putra Malaysia (UPM), MYTeakwood Holdings Sdn Bhd dan Green Afforestation International Network Sdn Bhd untuk melaksanakan pembinaan sebuah rumah prototaip menggunakan bahan binaan Paulownia Cross Laminated Timber (CLT) atau jenis kayu laminasi bagi Industri Pembinaan berkonsepkan sistem sedia dipasang (ReTIS).

MoU CWSB dengan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) pula bagi pembangunan sokongan ekosistem di Muar Furniture Park Teaching Factory UTHM untuk membantu pembangunan khususnya industri perabot di wilayah selatan di daerah Muar yang juga penyumbang utama eksport perabot Malaysia.

Kerjasama lain membabitkan CWSB dengan Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) untuk melahirkan lebih ramai usahawan Bumiputera dalam industri perkayuan dan ukiran di Langkawi; CWSB bersama Pusat Latihan Industri Perkayuan Terengganu (TTITC) bagi meningkatkan kemahiran vendor Bumiputera di bawah CWSB menerusi latihan selain CWSB bersama MFA Events untuk menggalakan penyertaan usahawan terbabit dalam program promosi dan pameran.

Selain itu, kerjasama CWSB bersama Persatuan Pengusaha-Pengusaha Kayu Kayan dan Perabot 11 Bumiputera Malaysia (PEKA) pula bagi membangunkan usahawan Bumiputera dalam industri produk perkayuan tempatan. - BERNAMA
 

Advertisement