Anda di sini

Bintulu tuan rumah sambutan Hari Malaysia Peringkat Negeri Sarawak 2022 

Advertisement
 

KUCHING: Seramai 5,000 jemputan dijangka hadir memeriahkan sambutan Hari Malaysia Peringkat Negeri Sarawak 2022 yang akan diadakan pada 16 September, jam 8 malam di Lasar Kenyalang, Lapangan Terbang Lama Bintulu.

Menurut menteri bertanggungjawab bagi Sambutan Perayaan Hari Malaysia Peringkat Negeri Sarawak 2022 Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom, sambutan itu akan dijalankan secara fizikal dengan mematuhi norma  baharu dan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.

Dr Rundi (tengah) bersama dif jemputan menunjukkan poster sambutan Hari Malaysia Peringkat Negeri Sarawak 2022.
Dr Rundi (tengah) bersama dif jemputan menunjukkan poster sambutan Hari Malaysia Peringkat Negeri Sarawak 2022.

"Sambutan ini penting kerana ia adalah satu peringatan kepada rakyat Malaysia tentang peristiwa bersejarah yang berlaku pada 16 September 1963. 

"Ia juga mengimbas semula sumbangan serta perjuangan para pemimpin kita yang terdahulu dalam membentuk sebuah negara Malaysia. 

"Pada tarikh tersebutlah lahirnya sebuah negara baharu bernama Malaysia, iaitu negara kita," katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Diraikan dengan tema ‘Keluarga Malaysia Teguh Bersama’, Hari Malaysia 2022 amat signifikan dalam memperingati perjuangan para pemimpin kita pada zaman dahulu yang tiada tandingannya. 

“Makanya, obor perjuangan pemimpin ini harus kita jadikan pembakar semangat untuk negara dan setiap rakyatnya ‘teguh bersama’ dalam perjuangan fasa endemik COVID-19,” tegas beliau.

Pada tahun ini Kerajaan Sarawak melalui Unit Protokol, Istiadat dan Pengurusan Acara Sarawak (UPPANS) dan Pejabat Residen Bahagian Bintulu selaku penganjur bersama telah menyusun pelbagai persembahan daripada Majlis Seni Sarawak.

Pengisian sambutan perayaan antara lain adalah persembahan hiburan seperti nyanyian artis-artis tempatan dan artis terkenal tanah air akan menampilkan Dato M. Nasir, Andi Bernadee, Ramles Walter, Florence Lo, Claudia Geres, Safar Ghafar, Sazia Selir dan Max Kueh.

Tarian suku kaum tempatan di bahagian Bintulu iaitu etnik Iban, Orang Ulu, Melanau, Cina, Melayu, Bidayuh, Kadayan dan Vaie turut akan dipersembahkan pada majlis itu. 

Selain ini, kumpulan Koir Dvoices Majlis Seni Sarawak akan mempersembahkan Ritma Malaysia iaitu medley lagu-lagu patriotik digubah dalam satu persembahan nyanyian secara kumpulan (koir) dan gerak tari yang melambangkan semangat kebersamaan perpaduan dan kebanggaan sebagai anak Malaysia sebelum diakhiri dengan persembahan bunga api.

Justeru, orang ramai digalak menunjukkan semangat patriotism yang tidak berbelah bahagi bagi merealisasikan masa depan yang makmur ke arah menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara maju mengikut acuan kita sendiri dan kibarkanlah Jalur Gemilang di premis-premis perniagaan atau kediaman bagi memeriahkan sambutan ini.

Untuk makluman, sambutan Hari Sarawak 2022 akan disiarkan secara langsung melalui TVS saluran 122 Astro dan myFreeview serta di Facebook Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) dan Youtube UKAS Channel.

Tetamu kehormat adalah Yang di-Pertua Negeri Sarawak Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud serta isteri Toh Puan Datuk Patinggi Ragad Kurdi Taib dan Premier Sarawak Datuk Patinggi Tab Sri Abang Johari Tun Openg bersama isteri Datuk Amar Juma’ani Tuanku Bujang.
 

Advertisement