Anda di sini

Anak seni Borneo lalui perjalanan berbeza

Advertisement
SHARIF ZERO
SHARIF ZERO

Astro jadi platform tempa nama di persada seni tanah air

KOTA KINABALU: Perjalanan untuk menempa nama sebaris dengan pelawak terkenal tanah air bukanlah satu laluan yang mudah. Malah, banyak cabaran serta suka duka yang terpaksa dilaluinya sehingga mencapai tahap hari ini.

Bermula dari penampilan dalam pertandingan Raja Lawak anjuran Astro dengan membawa nama Kumpulan Zero, tiga beradik dari daerah Kudat iaitu Syaiful, 34,  Sharif, 32, dan Atu, 30, mula menyerlahkan bakat lawak sehingga dikenali dalam industri hiburan tanah air.

Sharif ketika ditemui Utusan Borneo di Kuala Lumpur baru-baru ini, sempat berkongsi kisah dan pengalaman selepas lebih sedekad terlibat dalam dunia seni lawak sehingga berjaya menempa nama setanding dengan barisan pelawak terkenal di negara ini.

Beliau akui, biarpun bakat dan namanya semakin sinonim dengan industri seni lawak, namun masih banyak perkara yang perlu dipelajari untuk kekal bertahan dalam dunia seni.

Katanya, selepas menjuarai pertandingan Maharaja Lawak Mega pada 2014, nama Zero semakin dikenali dan mendapat tempat di hati peminat seni lawak di Malaysia. 

Menurutnya, biarpun nama Zero semakin kukuh dalam industri lawak, ia bukanlah kesempatan untuk mereka bermegah dan lupa diri.

Beliau berkata, selagi khidmat sebagai pelawak masih diperlukan, mereka sentiasa bersedia untuk menyumbang bakat agar arena seni lawak tanah air sentiasa terus diminati dan mendapat sokongan para peminat.

Selain berpeluang menyerlahkan bakat, menerusi industri seni juga beliau dapat membawa nama negeri Sabah agar lebih banyak ruang dibuka untuk menampilkan bakat-bakat lawak dari negeri ini.

"Saya yakin 100 peratus, sangat ramai bakat khususnya dalam seni lawak dari Borneo yang masih belum digilap dan terserlah bakat mereka.

"Banyak kekangan untuk pelawak-pelawak dari Borneo terutama dari segi bajet, informasi yang terhad dan pengangkutan yang memerlukan perbelanjaan besar sekiranya uji bakat diadakan di Semenanjung.

"Justeru, diharap lebih banyak maklumat disalurkan terutama ke kawasan pedalaman Borneo sekiranya ada uji bakat diadakan di Sabah dan Sarawak," katanya.

Sharif berkata, sekiranya ada keinginan tinggi untuk menyerlahkan bakat seni, seseorang itu juga harus berani dan bersungguh-sungguh kerana banyak cabaran yang perlu dihadapi dalam memasuki dunia seni.

Dalam pada itu, Kumpulan Zero turut menyimpan rancangan untuk mengadakan jelajah ke seluruh Sabah bagi mencari lebih ramai bakat-bakat lawak di negeri ini.

"Kami rancang mahu buat pertandingan di setiap daerah dan kumpulkan semua pemenang di Kota Kinabalu. Tapi, rancangan ini masih belum dapat dilaksanakan.

"Saya perlukan satu pasukan terutama penaja untuk menjayakan rancangan seperti ini. Selain itu, kami juga pernah merancang untuk buat program mingguan Lawak Ker Der versi Sabah.

"Buat masa ini, kami belum ada kekuatan pasukan untuk gerakkan program ini dan diharap ia dapat dilaksanakan nanti memandangkan rakyat Sabah sentiasa memberi sokongan dalam apa juga bentuk program hiburan," jelasnya.

Sharif turut berkongsi mengenai penglibatannya dalam Muzikal Lawak Superstar (MLS) musim ketiga tahun ini di Astro bersama gandingan Fad Bocey dan Namie atas nama Kumpulan Ubi.

Menurutnya, ketiadaan Syaiful dan Atu bukan penghalang untuknya menyertai MLS kali ini kerana masih berpeluang bergandingan dengan pelawak hebat seperti Fad dan Namie.

CALISTA
CALISTA

Sementara itu, seorang lagi bakat dari Sabah yang berjaya diketengahkan oleh Astro adalah penyampai radio Hitz FM Calista.

Berasal dari Kota Kinabalu, Calista yang bermula sebagai penyampai Hitz Sabah pada 2016 berpindah ke stesen utama Hitz FM di Kuala Lumpur pada 2018.

Biarpun tidak pernah merancang untuk menjadi penyampai radio, namun peluang menjadi pengacara majlis menjadi titik mula beliau terlibat dalam dunia penyiaran.

"Sebelum ini, saya agak risau ketika berdepan dengan khalayak yang ramai disebabkan saya ada masalah gemuruh (stage fright) bila berada di atas pentas.

"Namun, bila ada peluang menjadi pengacara majlis, saya cuba untuk atasi perasaan gemuruh dan belajar perlahan-lahan untuk lebih selesa di pentas dan berdepan dengan penonton yang ramai," katanya.

Menurutnya, bidang penyiaran adalah satu bidang yang sangat menyeronokkan dan minatnya kepada muzik dan selebriti banyak membantunya untuk lebih yakin dalam kerjaya sebagai penyampai radio.   

Antara pengalaman manis yang tidak dilupakannya, apabila selebriti terkenal James Corden pernah penyebut nama dan rancangan podcast 'The C Word With Calista' menerusi aplikasi SYOK yang diperkenalkan oleh Astro.

Selain itu jelasnya, menjadi penyampai radio banyak membantunya untuk memperbaiki kelemahan diri dan terus belajar bagi meningkatkan prestasi terutama bertugas di salah satu stesen radio terkenal.

"Penggunaan media sosial banyak membantu saya dari segi mendapatkan info terkini berkaitan muzik dan artis serta trend yang menepati jiwa pendengar.

"Apabila COVID-19 melanda dunia, banyak cabaran baharu terpaksa kita hadapi lebih-lebih lagi apabila terpaksa bertugas dari rumah.

"Pada waktu itulah saya perlu lebih peka dengan perkembangan yang ada menerusi media sosial dan lebih kreatif dalam mengendalikan rancangan radio," jelasnya.

Dalam pada itu, Calista turut berpesan kepada mereka yang memiliki impian untuk berkecimpung dalam dunia penyiaran supaya tidak cepat berputus asa.

Menurutnya, selagi ada peluang jangan berhenti untuk terus mencuba selagi memiliki kemampuan.

FIZAH AWOK
FIZAH AWOK

Bagi Filzah Azmi yang juga peserta MLS dan lebih dikenali sebagai Fizah Awok, biarpun pada awalnya penglibatan dalam dunia seni mendapat tentangan daripada ayahnya, namun ia tidak pernah mematahkan semangatnya.

Lahir dari keluarga yang berlatarbelakangkan seni silat, Fizah menggunakan bakatnya dalam seni mempertahankan diri untuk menyertai pertandingan Mimpi Sampai Ke Bintang anjuran TV2.

Namun katanya, kesilapan melihat iklan, menyebabkannya tersalah menyertai rancangan Bintang Mencari Bintang anjuran TV3 sekali gus menjadi titik mula terlibat dalam dunia seni lawak.

"Pada awalnya, ayah menentang sebab tidak mahu saya bertukar-tukar bidang. Selepas itu, barulah saya terlibat terus dalam seni lawak.

"Sabri Yunus pernah mengingatkan saya untuk kekal dalam bidang sama kerana bertukar-tukar bidang bukanlah satu tindakan yang bagus. Namun, pada masa itu saya tidak ada guru untuk lebih mendalami seni lawak sehinggalah saya memasuki arena 'stand up comedy'.

"Ramai dalam kalangan pelawak wanita yang terkenal seperti Jihan pernah memberi kata sokongan kepada saya supaya jadikan stigma pelawak wanita susah menempa nama dalam dunia seni sebagai pembakar semangat untuk terus berjaya," jelasnya.

Beliau berkata, biarpun sering menerima kritikan dan dikatakan kurang menyerlah dalam rancangan yang disertai, ia tidak akan melemahkan semangatnya untuk terus berkecimpung dalam dunia seni lawak.

Katanya, semua ada proses dan masa yang perlu diambil. Ramai dalam kalangan pelawak terkenal sekarang yang terpaksa mengambil masa lama untuk dikenali dan diterima peminat.

Sehubungan itu katanya, selagi ada peluang untuk terus berkarya dalam bidang seni lawak, Fizah tidak akan berputus asa dan sabar menanti tibanya masa untuk dirinya dikenali sebagai pelawak wanita terkenal di negara ini.
 

  • oleh
  • Advertisement