Anda di sini

Pemuda ghairah 'wheelie' ditangkap pada Ops Samseng Jalanan

Advertisement
Suspek ditahan kerana melakukan aksi berbahaya di sebatang jalan utama di Sibu semalam. - Foto IPD Sibu
Suspek ditahan kerana melakukan aksi berbahaya di sebatang jalan utama di Sibu semalam. - Foto IPD Sibu

SIBU: Ghairah melakukan aksi berbahaya 'wheelie' dengan mengangkat tayar hadapan motosikal yang ditungganginya, seorang pemuda berumur 22 tahun ditahan pegawai dan anggota dari Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sibu dalam Ops Samseng Jalanan di sini, Sabtu.

Menurut kenyataan daripada IPD Sibu, Ops Samseng Jalanan itu dijalankan di Jalan Awang Ramli Amit dan Jalan Tun Abang Haji Openg sekitar jam 8 malam hingga jam 12 tengah malam.

"Sebanyak 11 keping saman Polis 257 telah dikeluarkan atas pelbagai kesalahan, antaranya tiada lesen memandu, tiada cermin sisi dan ubah suai ekzos," katanya dalam satu catatan di laman sosial rasminya hari ini.

Mengenai pemuda terbabit jelasnya, suspek telah dibawa ke Balai Trafik Sibu untuk tindakan lanjut. 

"Kesalahan disiasat di bawah Seksyen 42 (1) APJ 1897 dan jika di sabit kesalahan boleh dihukum penjara tidak melebihi lima tahun dan didenda tidak kurang daripada RM5,000 dan tidak melebihi RM15,000," katanya.

Sementara itu, operasi itu turut menahan lima lagi motosikal yang disita di bawah Seksyen 64 APJ 1987.

IPD Sibu turut menasihati orang ramai agar tidak sesekali melakukan aksi berbahaya di atas jalan raya yang boleh membahayakan nyawa sendiri dan orang lain. 

"Maklumat berkaitan samseng jalanan boleh juga disalurkan kepada pihak BSPT Sibu bagi sama-sama mengekang kegiatan ini.

"Kerjasama orang ramai sangat dialu-alukan," tambahnya.
 

  • oleh
  • Advertisement