Anda di sini

Tanamkan mentaliti menang dalam PRU ke-15: Bung

Advertisement
 Bung sedang meneliti beberapa perkara bersama Jafry bagi membincangkannya dalam mesyuarat itu.
SEDIA: Bung sedang meneliti beberapa perkara bersama Jafry bagi membincangkannya dalam mesyuarat itu.



SANDAKAN: Mentaliti untuk menang perlu ada dalam setiap diri ahli parti dalam usaha membantu kejayaan Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15, kata Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Panglima Bung Moktar Radin (gambar).


Jelas beliau, apa jua peringkat keahlian, mentaliti menang amat penting dan perlu disemat sedalam-dalamnya khususnya jentera parti dan ahli di peringkat akar umbi.


"Sering saya tegaskan kalau nak menang kita buat kerja cara menang. Kalau kita bekerja sambil lewa sudah tentu matlamat untuk menang sukar kita terjemahkan," katanya ketika ditemui selepas mempengerusikan mesyuarat khas UMNO Bahagian Kinabatangan di Sabah Hotel dekat sini kelmarin.


Hadir sama Timbalan Ketua UMNO Bahagian Kinabatangan, Datuk Jafry Arifin; Naib Ketua UMNO Bahagian Kinabatangan Pg. Aziz Pg Damsah; Setiausaha UMNO Bahagian Wan Daud  Kahar; Ketua Wanita Hajah Aminah Johan; Ketua Pergerakan Pemuda Mohd Kurniawan Naim Bung dan Ketua Puteri Norhhamiza Tinih.


Bung yang juga Ketua UMNO bahagian Kinabatangan mrmberitahu, jentera di peringkat parti dan Pusat Daerah Mengundi (PDM) perlu diperkukuhkan dan digerakkan sepenuhnya  memandangkan masa terlalu suntuk untuk berhadapan dengan PRU Ke-15 yang semakin hampir dilaksanakan.


Katanya, di kawasan Parlimen Kinabatangan sahaja terdapat 297 cawangan UMN dan 27 buah PDM, yang perlu disantuni bagi mengenal pasti kedudukan ahli dalam cawangan dan persediaan di semua peringkat PDM.


"Walaupun UMNO di bahagian ini mempunyai keahlian sekitar 28,422 orang, namun parti tidak boleh bersandar sepenuhnya kepada jumlah tersebut kerana jumlah pengundi lebih besar daripada angka tersebut termasuklah kehadiran pengundi muda 18 tahun yang akan menentukan kejayaan UMNO dan BN untuk mempertahankan kerusi di kawasan ini," katanya.


Sehubungan itu Bung berkata, pengundi dari parti komponen BN yang lain perlu disantuni dan digerakkan bersama sebagai satu pasukan bagi memastikan kemenangan di kawasan Parlimen Kinabatangan.


Tambah berlian lagi, natijah daripada itu, nanti segala perancangan dan pelaksanaan bukan sahaja akan berjalan lancar malah akan meningkatkan lagi momentum untuk membantu parti mencapai kemenangan nanti.


"Semua jentera perlu turun padang, kita tidak boleh bergantung semata-mata kepada laporan di atas kertas sahaja sedangkan situasi di peringkat akar umbi amat berbeza dari laporan yang ada, " jelas Bung.


Justeru katanya, jentera di peringkat Bahagian, Cawangan, Wanita, Pemuda dan Puteri masing-masing perlu bekerja lebih gigih selain membuat persediaan jentera peringkat Pusat Daerah Mengundi (PDM) serta jentera pilihan raya peringkat Parlimen.


"Ini adalah medan terbaik untuk jentera di akar umbi melihat secara menyeluruh dan masing-masing boleh melontarkan idea serta pandangan dalam usaha memperkemaskan lagi perancangan sedia ada untuk kita sama-sama bergerak menempuh cabaran,” katanya.


Selain persediaan, cabaran masa kini dan mendatang tetap ada terutamanya persepsi negatif terhadap parti dengan pelbagai isu yang melanda negara perlu diperjelaskan kepada rakyat agar pemikiran mereka tidak mudah dipesongkan oleh parti lawan apatah lagi menjelang PRU yang kemungkinan berdepan dengan pelbagai fitnah dan propaganda pembangkang.


Katanya lagi, kepelbagaian pendekatan dan program amat penting dalam usaha menarik tumpuan serta menambah keyakinan masyarakat khususnya di Parlimen Kinabatangan  untuk membuat pilihan yang terbaik dengan memilih BN pada PRU nanti.


“Tumpuan untuk menarik sokongan pengundi baharu dan golongan muda dengan program-program yang bersasar juga perlu kita berikan keutamaan kerana golongan ini juga akan menjadi penentu kepada kejayaan BN," katanya.

  • oleh
  • Advertisement