Anda di sini

Remaja buat aksi 'wheelie' ditahan dalam operasi di Sibu

Advertisement
Beberapa penunggang motosikal yang dikenakan saman dibawa ke Balai Polis Trafik menaiki trak polis untuk tindakan lanjut.
Beberapa penunggang motosikal yang dikenakan saman dibawa ke Balai Polis Trafik menaiki trak polis untuk tindakan lanjut.

SIBU: Seorang remaja lelaki ditahan polis selepas menunggang motosikal secara melulu dan berbahaya di Dataran Sibu awal pagi Sabtu.

Remaja berusia 18 tahun tersebut didapati menunggang motosikal dengan mengangkat tayar hadapan atau aksi 'wheelie' sekali gus membahayakan diri sendiri dan pengguna jalan raya lain.

Ketua Polis Daerah Sibu ACP Zulkipli Suhail berkata, remaja terbabit ditahan dalam Ops Samseng yang dijalankan oleh sepasukan polis trafik dari Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik IPD Sibu dari jam 9 malam Jumaat hingga jam 3 pagi Sabtu.

"Remaja tersebut akan disiasat di bawah Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 iaitu memandu secara melulu dan berbahaya," katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Zulkipli berkata, sebanyak 77 keping saman turut dikeluarkan atas pelbagai kesalahan dalam operasi tersebut.

"Antara kesalahan yang dikenakan saman termasuk kesalahan lesen memandu, kesalahan ubah suai ekzos, ubah suai struktur, kesalahan LKM, kesalahan plat nombor, tiada cermin sisi dan tidak pamer 'P'," katanya.

Sehubungan itu, Zulkipli menasihatkan orang awam supaya mematuhi undang-undang jalan raya dan menyarankan para ibu bapa memantau dan peka dengan aktiviti anak-anak mereka agar tidak terlibat dalam kegiatan yang menyalahi undang-undang.
 

  • oleh
  • Advertisement