Anda di sini

Wanita mengaku terlibat judi dalam talian didenda RM10,000 

Advertisement
 

KUCHING: Seorang wanita berusia 28 tahun dijatuhi hukuman denda RM10,000 atau dua bulan penjara sekiranya gagal membayar di Mahkamah Majistret di sini, hari ini selepas mengaku bersalah terlibat aktiviti perjudian dalam talian. 

Nur Hazimah Zainol dari Petra Jaya di sini, membuat pengakuan tersebut setelah pertuduhan mengikut Seksyen 4B(a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Zubaidah Sharkawi.
 
Seksyen berkenaan memperuntukkan hukuman penjara minimum RM10,000 dan tidak melebihi RM100,000 untuk setiap mesin perjudian yang dirampas dan hukuman penjara sehingga lima tahun, jika sabit kesalahan.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa mengendalikan sebuah mesin perjudian iaitu sebuah telefon bimbit ketika berada di sebuah kedai serbaneka 24 jam di Kuching Central Land di sini, pada 22 Julai, sekitar jam 5.50 petang. 

Mengikut keterangan kes, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Daerah Padawan membuat serbuan ke atas kedai tersebut untuk mengesan aktiviti perjudian dalam talian.

Tertuduh seterusnya ditahan bersama beberapa barangan kes yang dirampas iaitu sebuah telefon bimbit miliknya yang disembunyikan di atas meja kaunter kedai dan wang tunai berjumlah RM49.

Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa ASP Rogayah Rosli manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
 

  • oleh
  • Advertisement