Anda di sini

Untung bersih Gas Malaysia melonjak kepada RM107.34 juta pada suku kedua

Advertisement
 

KUALA LUMPUR: Keuntungan bersih Gas Malaysia Bhd melonjak kepada RM107.34 juta bagi suku kedua berakhir 30 Jun, 2022 daripada RM62.34 juta pada suku yang sama tahun kewangan 2021.

Prestasi ini didorong terutama oleh keuntungan kasar dan pendapatan kewangan lebih tinggi serta kos kewangan lebih rendah di samping sumbangan lebih tinggi daripada syarikat usaha sama, dan diimbangi sebahagian oleh perbelanjaan pentadbiran lebih tinggi.

Perolehan meningkat 29.2 peratus kepada RM1.78 bilion seiring dengan purata harga jualan gas lebih tinggi, sejajar dengan harga pasaran global, diimbangi oleh jumlah jualan gas asli yang rendah pada suku tersebut, menurut syarikat itu dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia, pada Khamis.

Syarikat itu menjelaskan peningkatan seterusnya dalam perolehan juga dipacu oleh tempahan yang lebih tinggi oleh pihak kapal bagi gas untuk penghantaran yang boleh dijamin tersedia pada masa tertentu bagi penggunaan sistem pengagihan gas asli (NGDS) pada suku itu.

Keuntungan asas sesaham syarikat pengedaran gas asli itu adalah 8.36 sen daripada 4.86 sen.

Susulan prestasi kewangan yang baik, Gas Malaysia mengisytiharkan dividen interim pertama sebanyak 5.90 sen sesaham bagi 1,284,000,000 saham biasa dengan berjumlah RM75.75 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Dis 2022, yang akan dibayar pada 28 Okt, 2022.

“Ekonomi Malaysia dijangka terus berdaya tahan pada 2022, disokong oleh permintaan domestik yang bertambah baik apabila aktiviti ekonomi semakin normal dengan pelonggaran langkah pembendungan pandemik.

“Syarikat akan terus mengambil langkah berhemat untuk mengekalkan kecekapan operasi, kekal berdaya saing dan mencari peluang untuk mengembangkan perniagaan,” jelas Gas Malaysia.

Menurut syarikat itu susulan itu, lembaga pengarah menjangkakan syarikat merekodkan prestasi yang memuaskan bagi tahun kewangan 2022 seiring dengan jangkaan pertumbuhan ekonomi. - BERNAMA
 

Advertisement