Anda di sini

Tukang kebun mengaku cedera, ugut bunuh isteri dipenjara dan denda

Advertisement
 

KUCHING: Seorang tukang kebun dijatuhi hukuman penjara dua minggu dan denda RM2,000 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini selepas mengaku bersalah mencederakan serta mengugut bunuh isterinya yang didakwa curang. 

Bagi pertuduhan pertama, tertuduh, Anthony Seli Satan, 26, dari Niah, didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 326A Kanun sama kerana mencederakan isterinya yang berusia 19 tahun.

Tertuduh didakwa memukul lengan, menampar muka dan menekan dada mangsa.

Pertuduhan kedua dibuat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah iaitu mengugut hendak menyebabkan kematian terhadap mangsa sama dengan menyatakan ‘mun aku dapat tahu mati kau dengan dia aku cedera lagi teruk’.

Kedua-dua perbuatan tersebut didakwa dilakukannya dalam satu kejadian pada 15 Ogos lalu, sekitar jam 2 pagi di sebuah hotel bajet di Kota Sentosa di sini. 

Berdasarkan keterangan kes, tertuduh memukul mangsa di bahagian lengan kanan, menampar mangsa di bahagian muka serta menekan dada mangsa setelah melihat dan terbaca perbualan pesanan ringkas aplikasi WhatsApp antara mangsa dengan teman lelaki mangsa.

Tertuduh cuba mendapatkan penjelasan daripada mangsa mengenai lelaki tersebut namun mangsa enggan memberitahu. 

Susulan itu, tertuduh mengeluarkan kata-kata ugutan terhadap mangsa. 

Tindakan tertuduh telah membuatkan mangsa berasa terancam dan tidak selamat. 

Mangsa juga bimbang sekiranya tertuduh akan bertindak di luar kawalan sehingga berlaku perkara tidak diingini. 

Justeru, mangsa membuat laporan polis untuk tindakan selanjutnya dan dihantar ke Hospital Umum Sarawak untuk mendapatkan rawatan.

Akibat kejadian itu juga, mangsa mengalami kecederaan ringan iaitu sakit dan lebam di bahagian muka, lengan kanan dan bahagian dada.

Dalam pada itu, Majistret Syarifah Fatimah Azura Wan Ali menetapkan tertuduh untuk dijatuhi hukuman penjara dua minggu berkuat kuasa tarikh tangkap pada 15 Ogos lalu dan denda RM1,000 atau dua minggu penjara sekiranya gagal membayar bagi pertuduhan pertama.

Sementara itu bagi pertuduhan kedua, mahkamah menetapkan tertuduh didenda RM1,000 atau dua minggu penjara sekiranya gagal membayar.

Pendakwaan dilakukan oleh Pegawai Pendakwa, Inskpektor Mohd Adzmei Ahmad manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
 

  • oleh
  • Advertisement