Anda di sini

Tiga anggota buskers ditahan miliki ganja

Advertisement
 

ALOR SETAR: Tiga individu termasuk seorang wanita yang merupakan anggota kumpulan pemuzik jalanan atau ‘buskers’ ditahan kerana memiliki ganja di sebuah rumah di Kampung Bukit Lembu, Langkawi, awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Langkawi, ACP Shariman Ashari, berkata ketiga-tiga suspek berusia antara 24 hingga 26 tahun itu ditahan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah Langkawi pada jam 1.30 pagi.

“Hasil pemeriksaan di bahagian ruang tamu rumah itu telah menjumpai satu beg yang mengandungi 17 peket plastik lut sinar berisi ketulan mampat daun kering dipercayai dadah jenis ganja seberat 178.14 gram dan peralatan yang dipercayai digunakan untuk menghisap dadah.

“Turut dijumpai tiga pasu yang ditanam tumbuhan disyaki pokok ganja di kawasan hadapan rumah berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata ujian saringan air kencing mendapati ketiga-tiga suspek positif dadah jenis Tetra Hydrocannibol (THC).

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 39A(2), Seksyen 6B dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952. - BERNAMA
 

Advertisement