Anda di sini

Siap siaga, kekalkan kemerdekaan negara, tangkis ancaman

Advertisement
 

KUALA LUMPUR: Warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) diseru meletakkan diri pada tahap kesiapsiagaan tertinggi dan kekal dengan moto iaitu sedia berkhidmat dalam apa jua situasi, kata Ketua Polis Negara Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani (gambar).

Beliau berkata jika dahulu pejuang negara berjaya menuntut kemerdekaan daripada penjajah, kini PDRM pula berada dalam era untuk mengekal kemerdekaan sebuah negara berdaulat agar ia tidak kembali dijajah dalam apa jua bentuk ancaman akan datang.

Menurutnya, keutuhan integriti dan disiplin diri yang tinggi adalah satu perkara utama dan tidak boleh dikompromi khususnya membabitkan isu keselamatan negara.

“Jelas sekali bahawa, integriti adalah teras dalam pembentukan dan pemantapan jati diri kita. Tanpa jati diri dan integriti yang kukuh, sudah semestinya dan pastinya kita akan berhadapan dengan kegagalan.

“Sesungguhnya kita berada dalam landasan perjuangan yang menuntut pengorbanan tanpa balasan. Kita hanya mengharapkan sokongan dan doa agar sentiasa berada di bawah lindungan Yang Maha Esa untuk terus berjuang demi memikul amanah dan tanggungjawab demi raja dan negara,” katanya ketika menyampaikan amanat sempena Perhimpuan Bulanan Ketua Polis Negara di Bukit Aman di sini hari ini.

Sementara itu, Acryl Sani berharap Jabatan Siasatan Jenayah terus kekal komitmen dalam mengurangkan kadar indeks jenayah.

“Pada masa sama, kita merangka pelan keselamatan yang lebih komprehensif bagi mendepani cabaran jenayah baharu seperti pornografi kanak-kanak, jenayah siber seksual, buli siber dan pemerdagangan manusia yang semakin dapat perhatian masyarakat.

“Langkah pencegahan yang berterusan dan berstrategi serta pembanterasan jenayah secara agresif dan menyeluruh dapat membina persepsi positif sekali gus menaik imej PDRM di mata masyarakat,” katanya. - BERNAMA
 

Advertisement